Berita Utama

Lebih 700 guru di Johor enggan terima vaksin COVID-19

JPNJ akan bantu beri penerangan kepentingan vaksin

ISKANDAR PUTERI, 13 Muharram 1443H, Ahad – Lebih 700 guru di Johor dilapor menolak untuk menerima vaksin COVID-19.

Berikutan itu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan mengenai kepentingan vaksin supaya golongan terbabit menerimanya.

Pengerusi Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, kerajaan Johor akan memanggil 779 guru yang menolak vaksin itu secara individu untuk diberi penerangan supaya mereka faham kepentingan vaksin apatah lagi sesi persekolahan dijangka dibuka Oktober nanti.

Sehingga 19 Ogos lalu, seramai 45,448 atau 96.26 peratus guru di Johor sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19, manakala kira-kira 23,746 guru sudah lengkap kedua-dua dos suntikan.

“Bagi anggota kumpulan pelaksana (AKP) pula, seramai 6,539 atau 91.43 peratus sudah menerima dos pertama dan seramai 2,816 pula atau 39.37 peratus sudah lengkap kedua-dua dos.

“Bagi staf sokongan operasi pula, seramai 9,236 atau 71.49 peratus sudah menerima dos pertama dan seramai 7,030 atau 54.42 peratus lagi sudah lengkap kedua-dua dos suntikan vaksin,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan kadar vaksinasi guru di negeri ini yang dikemukakan Nor Hayati Bachok (PAN-Maharani) pada Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14, hari ini.

Sementara itu, Mazlan berkata, JPNJ menyokong penuh kerjasama antara kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi memastikan program vaksinasi mencapai 100 peratus.

Katanya, kerjasama itu membabitkan warga sekolah serta ibu bapa dan penjaga ketika pembukaan sesi persekolahan nanti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button