Berita UtamaDunia

Pelajar Arab Saudi belum divaksin tak dibenar ke sekolah

Sesi persekolahan baharu akan bermula 29 Ogos

RIYADH, 13 Muharram 1443H, Ahad – Arab Saudi tidak membenarkan pelajar berusia 12 tahun ke atas yang belum divaksinasi hadir ke sekolah sehingga mereka menerima suntikan lengkap vaksin COVID-19, kata Kementerian Pendidikan.

Menteri Pendidikan, Dr Hamad al-Sheikh mengesahkan, individu yang belum menerima vaksin COVID-19 akan dianggap tidak hadir sehingga mereka menerima dua dos vaksin.

Beliau juga menekankan pentingnya melaksanakan langkah berjaga-jaga bagi memudahkan pendidikan secara langsung dilaksanakan semula dan memastikan semua pelajar dan kakitangan selamat sepanjang semester.

Pada 1 Ogos lalu, Kementerian Pendidikan, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, mengumumkan semua pelajar dan kakitangan sekolah mesti diberi vaksin sepenuhnya sebelum sesi persekolahan bermula.

Sesi persekolahan baharu akan bermula pada 29 Ogos, dan pihak berkuasa kesihatan ingin memastikan bahawa semua pelajar dan kakitangan dilindungi daripada COVID-19.

“Kementerian Kesihatan akan menyediakan vaksin, janji temu kepada pelajar yang disasarkan untuk imunisasi, termasuk guru, anggota fakulti dan pentadbir dari staf pendidikan.

“Tindakan itu perlu sebelum permulaan tahun akademik,” kata dua kementerian dalam satu kenyataan bersama sebelum ini.

Pasukan yang dilantik akan mengadakan lawatan sebelum sekolah dibuka semula bagi memastikan ia dalam keadaan lengkap dan bersedia untuk menyambut pelajar dan kakitangan, kata al-Sheikh dalam kenyataan itu.

Lebih 33 juta dos vaksin COVID-19 telah diberikan di Arab Saudi setakat ini, menurut Kementerian Kesihatan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button