Berita Utama

Sebahagian tahanan Rohingya lolos mungkin sembunyi di Selayang

Besar kemungkinan mereka dibantu komuniti sendiri

KUALA LUMPUR, 26 Ramadan 1443H, Khamis – Sebahagian daripada tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap mungkin bersembunyi dalam komuniti mereka di sini, kata Jabatan Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, pada sidang media selepas serbuan di Pasar Borong Selayang berkata, berkemungkinan sebahagian daripada 61 suspek yang masih bebas berada di sekitar Lembah Klang.

“Berdasarkan maklumat kami, segelintir sudah lari ke sini. Kami percaya mereka tahu selok belok di sini kerana sebelum ini pernah bekerja di Kuala Lumpur.

“Walaupun kita tidak percaya mereka dibantu oleh penduduk tempatan, namun besar kemungkinan mereka dibantu oleh komuniti mereka sendiri,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Khairul juga berkata, seramai 248 orang, kebanyakannya Rohingya, ditahan dalam serbuan itu, yang dilancarkan berikutan aduan orang ramai di situ.

“Mereka didapati membuka gerai kecil dan menjual hasil yang ditolak pada harga di bawah harga pasaran. Sebuah sekolah haram yang didirikan di sini turut diserbu.

“Daripada mereka yang ditahan, 106 Rohingya memegang kad UNHCR. Kami juga telah menahan tiga lelaki Pakistan yang memegang kad UNHCR dan kami akan mendapatkan penjelasan mengenai sebab mereka diberikan kad itu,” katanya.

Baki suspek adalah pendatang asing tanpa izin dari Pakistan, India, Myanmar, Indonesia dan Bangladesh.

Salah seorang suspek yang ditahan turut ditangkap membawa kad UNHCR palsu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button