Berita UtamaDunia

Taliban lepas tembakan ke udara kawal orang ramai di lapangan terbang Kabul

Rakyat bersesak, keadaan di lapangan sangat mencabar

KABUL, 13 Muharram 1443H, Ahad – Taliban melepaskan tembakan ke udara dan menggunakan belantan supaya rakyat beratur di luar lapangan terbang Kabul, kata saksi sehari selepas tujuh warga Afghanistan terbunuh dalam keadaan ngeri di pintu gerbang.

Semalam, Kementerian Pertahanan Britain berkata, tujuh rakyat Afghanistan terbunuh dalam kekacauan di lapangan terbang di Kabul ketika ribuan orang bersesak melarikan diri meninggalkan Afghanistan selepas negera itu dikuasai Taliban.

Sky News menayangkan rakaman anggota tentera berusaha menarik rakyat yang cedera keluar dari kesesakan dan menghalakan hos air bagi mengelakkan mereka mengalami dehidrasi.

“Keadaan di lapangan sangat mencabar, namun kami berusaha melakukan segala yang kami mampu untuk menguruskan keadaan dengan selamat dan aman,” kata kementerian dalam satu kenyataan.

Menurut kementerian itu, United Kingdom kini sudah memindahkan hampir 4,000 orang awam dari Afghanistan sejak 13 Ogos lalu.

Seorang pegawai NATO berkata, sekurang-kurangnya 20 orang maut dalam tempoh tujuh hari lepas di dan sekitar lapangan terbang.

Saksi berkata, ada di antara mereka mati ditembak. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button