Berita Utama

SPRM nafi jadi ‘senjata politik’ kuatkan kerajaan PN

Tuduhan boleh jejaskan imej, timbul persepsi negatif ke atas SPRM

BANGI, 22 Rejab 1442H, Sabtu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya tohmahan daripada beberapa pemimpin parti politik kononnya suruhanjaya itu telah dijadikan ‘senjata politik’ dalam melaksanakan tindakannya.

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM menegaskan suruhanjaya itu adalah sebuah agensi penyiasatan yang bebas dan sentiasa memastikan tindakannya berlandaskan undang-undang tanpa membabitkan kecenderungan politik.

“Tohmahan tersebut dianggap sebagai tidak berasas serta tidak bertanggungjawab.

“Hal ini kerana perkara itu boleh menjejaskan imej SPRM, sekali gus menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap SPRM,” katanya.

Kenyataan itu muncul dipercayai merujuk kepada tindakan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang mengecam sekeras-kerasnya penggunaan SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain sebagai ‘senjata politik’, terutama bagi tujuan menambah sokongan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Pertandingan politik di Malaysia wajib berlaku dalam suasana yang sihat, dengan amalan demokrasi yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan.

“Pakatan Harapan juga kesal dengan tindakan pihak berkuasa ke atas perniagaan dengan pelbagai tuntutan kewangan yang tidak munasabah serta juga pembekuan akaun bank untuk menambahkan pendapatan kerajaan yang kian berkurangan,” kata Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan bersama, semalam.

Kenyataan itu juga berkata, tindakan memeras perniagaan dalam keadaan kemelesetan ekonomi juga harus ditangguh kerana ia akan menyukarkan survival perniagaan dan menjejaskan pekerjaan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button