Dunia

COVID-19: China rekod sifar kes jangkitan tempatan

Kes turun mendadak selepas kluster pekerja lapangan terbang dikesan pada Julai

BEIJING, 14 Muharram 1443H, Isnin – Pihak berkuasa kesihatan China hari ini melaporkan bahawa tiada kes jangkitan tempatan wabak COVID-19 di negara itu untuk pertama kali sejak bulan Julai. 

Penularan wabak sebelum ini dilaporkan dikesan dalam kalangan pekerja lapangan terbang di bandar Nanjing pada 20 Julai lalu. 

Sejak itu, China merekodkan lebih 1,200 kes jangkitan.

Kluster berkenaan mendorong pihak berkuasa tempatan di seluruh negara mengenakan langkah-langkah pencegahan termasuk ujian saringan besar-besaran untuk mengesan dan mengasingkan individu dijangkiti.

Bagaimanapun, tiada kematian direkodkan pada gelombang sebelum ini yang sebahagian besar tertumpu di bandar Nanjing dan Yangzhou di wilayah Jiangsu.

Seluruh China, kes-kes tempatan baharu turun kepada satu digit minggu lalu selepas naik mendadak pada awal Ogos.

Minggu lalu, Shanghai mengasingkan ratusan individu selepas dikesan menjadi kontak rapat kepada pekerja kargo di dua lapangan terbang, yang telah mencetuskan kebimbangan.

Namun, Shanghai tidak melaporkan jangkitan tempatan baharu sejak itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button