Berita Utama

Guru patut jadi contoh pada murid ambil suntikan vaksin

Individu tolak vaksin tanpa sebab seolah rela diri dijangkiti: Sultan Johor

BANGI, 14 Muharram 1443H, Isnin – Kakitangan awam termasuk golongan guru perlu memahami kepentingan pengambilan vaksin untuk melindungi diri, keluarga serta masyarakat.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, pengambilan vaksin adalah penting dan perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negara ini, seterusnya berupaya membendung penularan jangkitan COVID-19.

Baginda bertitah, guru-guru seharusnya menjadi contoh dan melindungi murid, apatah lagi sesi persekolahan bakal dibuka tidak lama lagi.

“Guru-guru patut jadi contoh dan melindungi anak murid, bukannya membahayakan mereka, apatah lagi sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi. Saya dan keluarga juga sudah lengkap mengambil dua dos vaksin.

“Jangan mudah terpengaruh dengan golongan antivaksin sebagaimana saya tegaskan sebelum ini. Percayalah pakar perubatan kita yang bertauliah,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, individu yang menolak vaksin tanpa sebab yang sahih, seolah-olah merelakan diri mereka dijangkiti.

“Saya berharap agar semua rakyat Johor dapat suntikan vaksin dengan segera, supaya boleh kembali bekerja, berniaga dan menjalani kehidupan seperti biasa,” titah baginda dalam Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Baginda bertitah demikan sebagai mengulas laporan seramai 779 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin COVID-19.

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang semalam berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan membantu memberi penerangan kepada kumpulan guru terbabit mengenai kebaikan vaksin supaya mereka sedia menerima suntikan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button