Berita Utama

Pejuang berhasrat tanding 120 kerusi pada PRU15

Beri jaminan ahli terdiri orang muda, tiada sejarah kotor

KUALA LUMPUR, 14 Muharram 1443H, Isnin – Parti yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyatakan hasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya di 120 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita mahu bertanding banyak kerusi, mungkin sampai 120 kerusi,” katanya.

Pengerusi Pejuang itu memberi jaminan bahawa ahlinya terdiri daripada orang muda yang bebas rasuah dan tidak ada sejarah yang kotor.

“Kita akan tanya kepada semua yang ingin menyertai Pejuang sama ada mereka masuk untuk menyokong parti atau hanya berpengaruh dan ingin mendapat tempat untuk bertanding.

“Untuk mendapatkan kemenangan memerlukan banyak pengorbanan dilakukan. Jadi kepada sesiapa yang ingin menyertai Pejuang kalau tidak dipilih, sanggupkah untuk terus menyokong parti,” katanya dalam wawancara secara maya di portal The Malaysian Insight.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, walaupun terdapat ramai pemimpin parti itu yang berkebolehan, namun hanya seorang sahaja akan dicalonkan melalui cara kesepakatan untuk sesuatu kawasan bertanding bagi mengelak daripadanya berlaku sabotaj.

“Kita tidak boleh memberi jaminan semua orang berbakat bakal menjadi wakil rakyat sebab mahu fokus kepada pendirian kerajaan yang baik untuk membangunkan negara supaya semua rakyat mendapat nikmat tidak kita parti lawan atau tidak,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengimbau kembali keadaan sewaktu menjadi Perdana Menteri di mana banyak kemudahan serta kelebihan telah diberikan kepada rakyat.

“Dulu semasa saya menjadi Perdana Menteri, ramai yang tidak sedar saya telah membangunkan negara, memajukan negara, berikan biasiswa kepada ribuan pelajar tanpa mengira kaum untuk semua dapat nikmat.

“Tetapi selepas saya letak jawatan, kerajaan baharu mengurangkannya kerana tumpuan baru kerajaan ketika itu bukan untuk kebaikan semua tetapi untuk penyokong mereka sahaja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button