Berita Utama

Rais Yatim mahu keabsahan Ismail Sabri di Dewan Rakyat disegerakan

Perlu disah melalui majoriti dalam Parlimen kerana tak akan habis hanya dengan lihat SD

KUALA LUMPUR, 14 Muharram 1443H, Isnin – Undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu dilakukan segera untuk mengelakkan sebarang pertikaian berlaku, gesa Tan Sri Dr Rais Yatim.

Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata, keabsahan ini perlu dilakukan supaya tidak ada lagi mana-mana pihak yang boleh mempertikai kepemimpinannya.

“Perlu disahkan melalui majoriti dalam Parlimen kerana tidak akan habis hanya dengan melihat Akuan Bersumpah (SD) yang dilihat oleh pihak tertentu. Ia mesti diabsahkan dalam Dewan Rakyat.

“Walaupun ada orang yang kata tidak perlu, tetapi adalah amat baik prosedur di Parlimen digunakan untuk mengesahkan apa yang diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong. 

“Jadi, bila Agong titahkan supaya keabsahan ini dibuat di Dewan Rakyat, bila tidak ikut banyaklah lidi yang bercabang, susah nak menyapu. Itu perumpamaannya,” katanya seperti dilapor UtusanTV.

Beliau berkata, tindakan itu perlu disegerakan supaya situasi sewaktu kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berulang.

“Patutnya ia tidak diulangi apa yang dibuat dulu,” kata Rais.

Beliau berkata, Parlimen kini hanya menunggu pemakluman daripada Ketua Majlis berhubung tarikh pembukaan sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Dulu kita jadualkan 6 September ini dan bersidang selama dua minggu. Sekarang terserah kepada kerajaan baharu sama ada mahu meneruskan sesi itu atau pinda tarikh. 

“Kalau dipinda sekalipun, tarikh itu tidak boleh jauh sangat dari tarikh yang dianjurkan takwim. Biasanya lewat seminggu atau 10 hari dan harus bermula dengan Isnin.

“Saya percaya bila barisan Kabinet selesai, bahagian Kabinet ini yang akan menguruskan atur cara Parlimen yang hendak dijalankan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button