Berita Utama

Wakil rakyat perlu amal politik matang, jujur dan ikhlas bantu rakyat

Rakyat dan negara tidak wajar dibebani dengan kemelut politik

KUANTAN, 14 Muharram 1443H, Isnin – Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menasihatkan wakil rakyat negeri ini agar mengamalkan politik lebih matang, jujur dan ikhlas untuk membantu rakyat serta memajukan negara.

Baginda bertitah rakyat dan negara tidak wajar dibebani dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan, terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai rakyat terkesan menaruh harapan tinggi kepada wakil rakyat.

“Suka saya ingatkan kepada semua ini bukan masanya untuk kita bersengketa dan bukan masanya untuk kita banyak bicara tanpa berbuat apa-apa. Sebaliknya ini masanya untuk kita semua bersama demi negara, negeri dan rakyat jelata.

“Saya menyeru agar semua Yang Berhormat untuk berbahas secara rasional dan berpengang kepada prinsip mendahulukan kepentingan rakyat serta kemakmuran negeri,” titah baginda semasa menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini.

Tengku Hassanal juga menitahkan semua 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang supaya sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

Dalam titah itu, Tengku Hassanal turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai perdana menteri kesembilan dan menasihatkan beliau supaya menjalankan amanah tersebut sebaik-baiknya.

Selain itu, Tengku Hassanal juga menzahirkan hasrat supaya kerajaan Pahang menjadi contoh dalam amalan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), dengan berharap prinsip tersebut dijadikan panduan dalam setiap perkara agar tidak bersifat retorik semata-mata.

Kerajaan Pahang yang diterajui Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga dititahkan supaya menambah keluasan kawasan Hutan Simpanan Kekal yang kini yang berjumlah 1.59 juta hektar supaya negeri ini kekal signifikan sebagai ‘green lung’ atau kawasan hijau Semenanjung Malaysia.

Titah baginda, Pahang dengan keluasan hampir 3.6 juta hektar mempunyai peratusan kawasan hutan yang masih tinggi iaitu 57 peratus dari keluasan negeri yang dilihat menjadi penyumbang oksigen utama selain habitat bagi hidupan liar, flora dan fauna di Semenanjung Malaysia.

“Saya menyokong usaha kerajaan saya bertindak tegas dalam aktiviti penguatkuasaan seperti operasi membanteras penerokaan tanah secara haram dan berharap, ia diteruskan tanpa gentar atau pilih kasih demi memastikan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan dan alam sekitar berkekalan,” titah baginda.

Menyentuh mengenai situasi ekonomi Pahang, Tengku Hassanal bertitah berlaku penyusutan akibat impak COVID-19 dengan pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM54.9 bilion pada 2020 berbanding RM58.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Sektor pertanian, titah Tengku Hassanal masih mengekalkan sumbangan besar kepada pembangunan negeri seperti contoh, 624,000 tan produk makanan pelbagai jenis termasuk buah, sayur dan tanaman kontan bernilai RM2.9 bilion dikeluarkan pada tahun lepas.

“Saya berharap kerajaan saya akan terus memberikan lebih penekanan kepada sektor pertanian di samping sektor lain dengan konsep pertanian konvensional perlu diubah kepada pertanian moden dan berteknologi tinggi yang tidak memerlukan tanah yang luas untuk menggandakan hasil dan keuntungan.

“Kerajaan perlu menarik lebih ramai usahawan tani terutamanya golongan muda yang perlu membuang jauh pemikiran skeptikal bidang pertanian tidak menjamin masa depan atau berpendapatan rendah manakala kerajaan perlu menyediakan pelbagai bentuk kemudahan termasuk geran, dana pinjaman dan khidmat nasihat untuk mereka,” titah baginda.

Tengku Hassanal mengalu-alukan pelabur luar dan tempatan melabur di Pahang yang telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM6.8 bilion pada tahun lepas.

Dalam menarik usaha lebih ramai pelabur, Tengku Hassanal mengingatkan kerajaan negeri agar melihat potensi pelaburan yang bersesuaian dengan keutamaan diberikan kepada pelaburan yang selari dengan konsep alam sekitar dan dilaksanakan dengan berintegriti.

Tengku Hassanal juga menzahirkan rasa puas hati dengan kutipan hasil pada tahun lepas yang berjumlah RM850 juta berbanding sasaran asal RM744 juta iaitu pencapaian sebanyak 115 peratus dan berhasrat melihat prestasi tahun ini lebih baik dan digunakan untuk melaksanakan projek yang bermatlamatkan kesejahteraan rakyat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button