Uncategorized

Ahmad Zahid tidak boleh hadiri perbicaraan, masuk hospital akibat sakit belakang

Kes telah ditangguhkan beberapa kali

KUALA LUMPUR, 15 Muharram 1443H, Selasa – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh menghadiri perbicaraan kes rasuahnya yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi hari ini setelah dimasukkan di hospital kerana sakit belakang.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa surat daripada pakar hospital menyatakan anak guamnya mengalami kecederaan akibat terjatuh.

“Kami ada surat bertarikh 23 Ogos 2021 yang menjelaskan kepada Yang Arif sebab tertuduh tidak dapat hadir.

“Surat itu juga menyatakan bahawa kerana sakit belakang yang teruk itu, beliau (Ahmad Zahid) tidak boleh duduk lama. Beliau dimasukkan ke hospital swasta di Shah Alam pada Ahad lepas (22 Ogos),” kata peguam itu.

Beliau berkata, Ahmad Zahid dijadualkan menjalani prosedur perubatan pada 8 pagi hari ini.

“Bagi pihak pembelaan, kami sedia untuk meneruskan perbicaraan. Kami tidak mahu dikatakan melengahkan kes ini,” katanya.

Mahkamah sepatutnya mendengar penghujahan pada akhir kes pendakwaan hari ini oleh kedua-dua pihak.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan sudah bersedia untuk berhujah hari ini kerana kes itu telah ditangguhkan beberapa kali.

“Kami menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada kes ini dapat dijalankan secara dalam talian atau diteruskan tanpa kehadiran tertuduh. Perkara itu penting untuk dipertimbangkan, Kami tidak mahu mahkamah dilihat menafikan haknya untuk didengar,” katanya.

Pada 19 Mac, pihak pendakwaan menutup kesnya setelah memanggil 99 saksi.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan – 12 atas membabitkan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 kes pengubahan wang haram – melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button