Berita UtamaDunia

COVID-19: China gesa AS henti tuding jari, siasat dulu makmal sendiri

Profesor dari AS banyak buat kajian mengenai gabungan semula coronavirus

BEIJING, 15 Muharram 1443H, Selasa – China menggesa Amerika Syarikat berhenti menuding jari ke negara lain mengenai teori kebocoran makmal yang didakwa menjadi punca penularan wabak coronavirus.

China bahkan turut menggesa AS untuk menyiasat makmal biologinya sendiri.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Wang Wenbin menegaskan, AS telah mengabaikan kesimpulan laporan penyelidikan bersama pada Januari oleh China dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bahawa virus tidak mungkin bocor dari makmal.

Wang mengecam fitnah Washington terhadap negara-negara lain atas krisis epidemiologi, sementara AS sendiri mungkin memainkan peranan dalam asal usul wabak virus itu. 

“AS negara pertama yang memulakan penyiasatan mengenai virus. Ia juga telah memberi dana dan melakukan lebih banyak penyelidikan coronavirus berbanding negara lain,” kata pegawai China itu.

Mengulas lanjut, Wang berkata, menurut laporan, Profesor di Jabatan Mikrobiologi dan Imunologi di University of North Carolina di Chapel Hill, Prof Ralph S Baric mula menyelidik gabungan semula coronavirus pada tahun 1990. 

“Pasukannya telah lama memperoleh dan mengasah kemampuan untuk menggabungkan semula dan mengubah coronavirus. 

“Baric mengatakan dalam wawancara dengan media Itali, PresaDiretta pada September 2020 bahawa ‘tidak mustahil untuk membuat virus tanpa meninggalkan jejak’.  

“Oleh itu, siasatan terhadap pasukan dan makmal Baric adalah perlu untuk menjelaskan sama ada penyelidikan coronavirus mereka itu telah membuat atau mencipta coronavirus baru.

“Bilakah AS dapat menjemput pakar WHO ke makmal biologi di University of North Carolina (UNC) dan Institut Penyelidikan Perubatan Tentera AS Penyakit Berjangkit di Fort Detrick (USAMRIID) untuk disiasat?,” soal Wang bertanya secara retorik.

Justeru, China mencadangkan agar AS berhenti ‘melempar kesalahan’ pada orang lain dan sebaliknya menyiasat apa yang berlaku di makmal sendiri terlebih dahulu, kata Wang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button