Berita Utama

Ismail Sabri perlu berani lantik Senator dari kalangan pakar

Kabinet mampu beroperasi dengan hanya 12 kementerian dan tiga menteri di JPM

BANGI, 15 Muharram 1443H, Selasa – Rakyat ternanti-nanti siapakah yang tersenarai dalam Kabinet baharu Datuk Seri Ismail Sabri – yang dijangka diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pastinya, ramai mengharapkan perubahan ketara, model segar yang selari dengan konsensus baharu mahupun transformasi luar kotak yang bakal dilakukan Perdana Menteri kesembilan.

Biarpun begitu, berdasarkan realiti dan praktikaliti, perkara itu amat sukar untuk dilaksanakan, terutama apabila Ismail Sabri terpaksa memenuhi permintaan dan desakan pelbagai pihak yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri baharu.

Ditambah pula dengan majoriti yang amat sedikit, sudah tentu kerajaan baharu ini akan menjadi amat tidak stabil jika ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mengutamakan diri sendiri dan kepentingan parti masing-masing, kata Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Lukman Al Hakim.

Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan cadangan anggota Kabinet parti akan berlaku dengan konsep dan cara lama iaitu berdasarkan bilangan ahli Parlimen parti-parti yang bernaung di bawah blok kerajaan.

Beliau menjangkakan, Timbalan Perdana Menteri akan dilantik dari Bersatu manakala menteri-menteri kanan lain akan dibahagi-bahagikan antara calon terbaik dari UMNO, Bersatu, pecahan PKR, PAS dan GPS.

“Bagaimanapun, saya berpandangan Datuk Seri Ismail Sabri perlu berani melantik beberapa orang senator yang merupakan pakar bagi memegang beberapa kementerian kanan contohnya ekonomi dan pendidikan. Selain itu, bekas menteri kewangan harus dikekalkan.

“Namun seperti yang saya sebutkan di awal tadi ia amat sukar dilakukan dalam keadaan sekarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lukman turut berpandangan adalah wajar menteri-menteri yang telah menunjukkan prestasi amat baik sebelum ini dikekalkan terutama yang melibatkan portfolio berkaitan Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti Khairy Jamaluddin.

“Menteri Pendidikan dan Kesihatan perlu ditukar pada pandangan saya. Begitu juga dengan beberapa menteri lain yang tidak menunjukkan prestasi yang begitu memberangsangkan.

“Selain itu, saya juga berharap bilangan kementerian dapat dikurangkan. Berdasarkan congakan dan strategi peribadi saya, Kabinet Malaysia mampu beroperasi dengan baik dengan hanya 12 buah kementerian dan tiga menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), 15 orang menteri keseluruhan.

“Kami hanya mampu mencadang dan mengharap. Keputusan di tangan yang berkuasa. Semoga barisan Kabinet baharu nanti akan mampu membawa perubahan baharu yang dinantikan seluruh rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button