Berita Utama

Lantikan Jemaah Menteri mesti ikut keperluan negara, bukan penuhi kehendak parti

Pemimpin wibawa saja mampu dahulukan suara rakyat

BANGI, 15 Muharram 1443H, Selasa – BERJASA berharap barisan Jemaah Menteri yang akan diumumkan nanti dari kalangan yang bersih daripada rasuah serta seorang yang berwibawa dalam menjalankan tugas.

Selain itu, pelantikan mereka juga harus berdasarkan keperluan negara dan bukannya kerana memenuhi kehendak pimpinan parti yang telah menyokong lantikan Perdana Menteri kesembilan.

Ini atas sebab pemimpin yang berwibawa dan berjiwa negarawan sahaja yang mampu mendahulukan suara rakyat dan ambil peduli kesusahan rakyat tanpa syarat, tegas Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim.

Beliau mengingatkan kerajaan baharu supaya berusaha menunaikan semua harapan rakyat untuk membawa negara ke arah yang lebih baik daripada sekarang.

Antaranya dari segi kewibawaan politik yang tinggi seperti tiada rasuah dalam kalangan barisan pimpinan, peningkatan ekonomi dan pengurangan masalah sosial.

“Sudah masanya untuk pemimpin yang diberi kedudukan berani untuk memperbaiki keadaan dan kerosakan yang sudah berlaku. Segera percepatkan penyelesaian kes korupsi melibatkan pemimpin-pemimpin terkemuka dan penjawat awam.

“Jangan lagi ada jurang perbezaan dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sama ada rakyat mahupun pemerintah. Kesilapan yang lalu tidak patut diulang lagi.” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ustaz Zamani menggesa kerajaan memastikan setiap Ahli Parlimen dapat membantu rakyat secara terus-menerus dengan peruntukan yang relevan dan mengikut keperluan semasa.

“Perlu diingatkan kembali mengenai bantuan yang pernah diberikan yang berjumlah RM300,000, ke manakah bantuan itu disalurkan supaya rakyat dapat melihat ketelusan serta integriti yang tinggi dalam kerajaan baharu sekarang,” katanya.

Berhubung krisis kesihatan pula, BERJASA menyarankan kepada kerajaan supaya segera mengurangkan kadar jangkitan baharu kes COVID-19 harian dengan pemberian kit ujian kendiri secara percuma kepada yang memerlukan terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Bahkan penguatkuasaan yang ketat amat diperlukan dalam urusan rentas negeri mahupun pembukaan sektor berikutan wujud isu dokumen palsu dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang dijual.

Ustaz Zamani berkata, pihaknya turut berharap kerajaan dapat mempergiatkan lagi bantuan terutama kepada pelajar luar bandar seperti bantuan gajet serta bantuan internet.

Tidak dilupakan juga perluaskan peluang untuk vaksinasi golongan-golongan penting secara segera terutamanya sektor pendidikan yang bakal dibuka tidak lama lagi.

“BERJASA menyeru supaya kerajaan baharu segera melaksanakan pelan atau dasar untuk membaik pulih semula ekonomi negara.

“Kerajaan perlu memikirkan langkah untuk membantu usahawan kecil tempatan serta berusaha menarik semula pelabur ke Malaysia.

“Dan melakukan penstrukturan semula pembaharuan fiskal dan menggalakkan penggunaan instrumen kewangan Islam untuk membantu perkembangan ekonomi negara,” sarannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button