Berita Utama

Adakah MCA sedang protes, lantik peguam bela individu bantah Jawi?

Beria mahu lantik peguam, patut didik orang Cina patuh keputusan KPM

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 16 Rejab 1442H, Ahad – Pelik tatkala melihat parti berasaskan perkauman MCA beria-ria mahu melantik peguam bagi membela lapan lelaki yang didakwa dengan pertuduhan berhimpun secara haram pada 2019.

Walhal sepatutnya MCA – yang sebahagian daripada kerajaan memerintah – perlu menerajui mendidik masyarakat Cina untuk belajar patuh dan taat kepada keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan isu pendidikan rakyat.

Lantaran itu, Ketua Wanita Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Azizah Che Awang membangkitkan persoalan apa maksud tersirat dari tindakan MCA itu.

“Adakah ia suatu protes?

“Wanita BERJASA ingin menegaskan agar semua pihak menghentikan sebarang usaha untuk mempertikaikan keputusan yang dicapai bersama,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, beliau hairan apabila semua tertuduh membantah rancangan pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular, walaupun mendakwa bukan antikerajaan, anti-Melayu atau anti-Jawi.

“Lantas jika demikian, kenapa enggan untuk tulisan Jawi dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah vernakular? Sedangkan belajar tulisan Jawi adalah suatu proses memperkembangkan Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan.

“Sungguh menghairankan apabila hanya lima hingga enam aksara sahaja daripada tulisan Jawi itu telah menimbulkan kekecohan di kalangan masyarakat Cina,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Perkara 10(1)(a) memperuntukkan setiap warganegara mempunyai kebebasan bercakap dan bersuara.

Bagaimanapun katanya, warganegara Malaysia mempunyai kebebasan dalam mengeluarkan pendapat dan buah fikiran mereka selagi mereka tidak menyentuh pada isu-isu sensitif yang telah dikenal pasti seperti dalam perkara 10(4).

“Kebebasan bersuara dalam negara kita tidak dijaminkan secara mutlak tetapi tertakluk kepada sekatan yang berpatutan demi kesejahteraan dan mengelakkan keretakan perpaduan nasional,” katanya.

Sebelum ini, MCA dilaporkan, bakal melantik peguam bagi membantu semua tertuduh yang didakwa di mahkamah kerana pembabitan mereka dalam ‘bantahan kemasukan pembelajaran Jawi dalam kurikulum pendidikan Cina’.

Tindakan itu atas alasan kononnya semua tertuduh hanya mengamalkan hak kebebasan bersuara mereka dalam keadaan yang aman seperti dibenarkan dalam Perlembagaan negara.

Menurut Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, mereka menyuarakan permohonan dengan aman, tanpa menjejaskan keamanan awam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button