Berita Utama

Pejuang parti ‘lesu’, sukar menangi kerusi pada PRU15

Rakyat tak nampak ‘perjuangan’ sebenar Pejuang, tak tahu apa rancangannya

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 15 Muharram 1443H, Selasa – Hasrat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk bertanding hingga 120 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dianggap luar biasa kerana ia adalah sebuah parti baharu.

Malah, keahliannya juga tidak begitu ramai selain pemimpinnya hanya terdiri daripada segelintir nama yang dikenali rakyat.

Maka, untuk bertanding di 120 kerusi itu adalah satu sasaran yang tinggi, kata penganalisis politik, Dr Mazlan Ali.

Bukan itu sahaja, cawangannya yang tidak begitu banyak juga akan menyebabkan parti ini sukar untuk memenangi kerusi tanpa mempunyai kerjasama dengan parti-parti lain. 

“Sebagai parti yang kecil, Pejuang perlu membuat kerjasama strategik dengan parti-parti lain. Sama ada dengan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH). 

“Sekiranya Pejuang masuk pilihan raya secara solo, mungkin akan mendapat sejumlah undi yang tidak mencukupi untuk mengalahkan parti-parti lain yang lebih besar kerana berlaku perpecahan undi di situ,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan Pusat Perdana, Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM itu berkata, kebangkitan gelombang Pejuang hanya dapat dilihat pada peringkat awal pengumuman penubuhannya.

Namun, selepas daripada itu perjalanan parti itu kelihatan agak lesu, kata Dr Mazlan.

“Jadi kita tak nampak apa program, apa rancangan pejuang ni dan kita pun tak nampak ‘visibility’ (penampakan) parti Pejuang. 

“Berbeza dengan Barisan Nasional (BN), PH yang orang sudah kenal. Rakyat sudah tahu. Jadi Pejuang ini boleh dikatakan rakyat masih belum mengenali sepenuhnya, meskipun pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad semua orang kenal. Cuma partinya orang kurang kenal,” katanya.

Jelasnya, kebangkitan Pejuang tidak cukup hanya dengan sosok Dr Mahathir, tetapi ia turut memerlukan pemimpin-pemimpin lain yang lebih ramai untuk menyokong Dr Mahathir.

Bercakap mengenai bilangan kerusi luar biasa yang ingin dipertandingkan Pejuang, Dr Mazlan berkata, ia mungkin satu isyarat yang diberikan oleh Dr Mahathir bahawa Pejuang serius untuk bertanding dalam PRU15 akan datang. 

“Maka kita dapat memahami bahawa kenyataan Tun M memberi isyarat kepada mana-mana koalisi untuk sedia berunding dengan Pejuang. 

“Katakanlah dengan PN, sudah tentu ia akan beri ruang kepada Pejuang untuk merunding jumlah kerusi yang akan dipertandingkan oleh Pejuang sekiranya ia diterima dalam PN. 

“Begitu juga di pihak PH, Tun M meletakkan sasaran 120, maka bersedialah untuk berunding sekiranya hendak mengambil Pejuang sebagai satu parti komponen Pakatan Harapan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, tidak mustahil juga Pejuang sedang bersiap sedia untuk bertanding secara solo dalam PRU akan datang terutama di kawasan-kawasan majoriti Melayu.

“Mungkin pejuang boleh mencuri kesempatan di kawasan-kawasan tersebut dan dengan ketokohan Tun M mungkin boleh membantu pejuang memenangi kawasan-kawasan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button