Pendapat

Siapakah anggota Kabinet Ismail Sabri?

Adakah terpaksa penuhi desakan pelbagai pihak yang menyokong beliau?

1. RAMAI yang mengharapkan perubahan ketara, model segar yang selari dengan konsensus baharu mahupun transformasi luar kotak yang bakal dilakukan oleh PM9 dalam membina barisan kabinet kerajaan Malaysia kali ini.

2. Namun, saya merasakan berdasarkan realiti dan praktikaliti ia amat sukar untuk dilaksanakan, terutama apabila DS Ismail Sabri Yaakob akan terpaksa memenuhi permintaan dan desakan pelbagai pihak yang menyokong beliau sebagai PM baharu.

3. Ditambah pula dengan majoriti yang amat sedikit, sudah tentulah kerajaan baharu ini akan menjadi amat tidak stabil jika ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mengutamakan diri sendiri dan kepentingan parti masing-masing.

4. Justeru, cadangan ahli Kabinet parti akan berlaku dengan konsep dan cara lama iaitu berdasarkan bilangan ahli parlimen parti-parti yang bernaung di bawah kem kerajaan.

5. Secara logiknya Timbalan PM akan dilantik dari parti BERSATU (BERSATU akan tentukan calonnya) manakala menteri-menteri kanan iaitu kewangan, dalam negeri, pertahanan, ekonomi dan pendidikan akan dibahagi-bahagikan antara calon terbaik dari UMNO, BERSATU, pecahan PKR, PAS dan GPS.

6. Saya berpandangan DS Ismail Sabri perlu berani melantik beberapa orang senator yang merupakan pakar bagi memegang beberapa kementerian kanan contohnya ekonomi dan pendidikan. Selain itu, bekas menteri kewangan harus dikekalkan. Namun seperti yang saya sebutkan di awal tadi ia amat sukar dilakukan dalam keadaan sekarang.

7. Saya juga berharap menteri-menteri yang telah menunjukkan prestasi amat baik sebelum ini dikekalkan terutama yang melibatkan portfolio berkaitan Pelan Pemulihan Negara (PPN) contohnya YB Khairy Jamaluddin sebagai menteri MOSTI.

8. Menteri Pendidikan dan Kesihatan perlu ditukar pada pandangan saya. Begitu juga dengan beberapa menteri lain yang tidak menunjukkan prestasi yang begitu memberangsangkan.

9. Selain itu, saya juga berharap bilangan kementerian dapat dikurangkan. Berdasarkan congakan dan strategi peribadi saya, Kabinet Malaysia mampu beroperasi dengan baik dengan hanya 12 buah kementerian dan 3 menteri di JPM (15 orang menteri keseluruhan).

10. Kami hanya mampu mencadang dan mengharap. Keputusan di tangan yang berkuasa. Semoga barisan Kabinet baharu nanti akan mampu membawa perubahan baharu yang dinantikan seluruh rakyat.

Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim
Setiausaha Agung BERJASA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button