Berita Utama

Zahid mahu kerajaan baharu lakukan perubahan

Beberapa kegagalan pentadbiran terdahulu turut disenaraikan

BANGI, 15 Muharram 1443H, Selasa – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat meletakkan harapan besar kepada kerajaan baharu untuk melakukan perubahan.

Katanya, perubahan itu perlu dilakukan supaya negara terlepas daripada ancaman pandemik COVID-19 yang semakin memburuk.

Malah, beliau turut menyenaraikan beberapa kegagalan pentadbiran terdahulu yang wajar dijadikan pengajaran serta sempadan bagi kerajaan baharu di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Antaranya beliau mengatakan bahawa keputusan populis yang dilakukan kerajaan terdahulu adalah membahayakan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, memberi terlalu banyak kelonggaran sebelum mencapai imuniti kelompok sekaligus mendedahkan rakyat kepada wabak yang masih berleluasa.

“Membuka sekolah semasa kes jangkitan sedang tinggi sekaligus meletakkan murid-murid dan para guru dalam bahaya.

“Juga, memberi kelonggaran kepada pengembara dari luar negara menjalani kuarantin di rumah ketika dunia berdepan ancaman pelbagai varian baharu COVID-19,” katanya dalam tulisan di laman Facebook.

Selain itu, perkara yang perlu dielakan kerajaan baharu adalah bersikap ‘bias’ dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP).

Salah satu keputusan bias, katanya, adalah menutup sektor kurang berisiko, tetapi sektor yang menyumbang kepada kluster tertinggi dibenarkan beroperasi.

“Polisi ‘try and error’ sehingga mengundang ‘flip flop’ mengelirukan dan menyusahkan rakyat serta penguatkuasaan PKP yang tidak bersungguh-sungguh akhirnya menyebabkan kadar jangkitan bertambah parah.

“Mengenakan kadar kompaun yang tidak munasabah ke atas rakyat. Kompaun bersifat mendidik bukan menghukum,” katanya yang juga menjadi perkara bias dilakukan kerajaan terdahulu.

Bukan itu sahaja, Zahid berkata, kerajaan sebelum ini juga memberi bantuan yang menguntungkan pihak ketiga.

Katanya, pemberian moratorium pinjaman bersifat ‘refinance’ menguntungkan pemiutang.

“Sebahagian bantuan yang diumumkan bersifat terakru sedangkan bantuan itu diperlukan sekarang.

“Kebenaran pengeluaran wang KWSP yang tidak menyeluruh dan gagal membantu rakyat secara total,” katanya.

Di samping itu, Zahid turut menegur penggantungan demokrasi bila mana persidangan Parlimen yang merupakan lambang demokrasi negara dan saluran rasmi suara rakyat disekat.

Selain mendakwa pemimpin terdahulu menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu serta membelakangi Perlembagaan Negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button