9,804 penduduk haram Israel ceroboh Al-Aqsa bulan ini
Serangan biadab meningkat 60 peratus pada tiga bulan terakhir

BAITULMAQDIS, 16 Muharram 1443H, Rabu – Pencerobohan serta serangan puak biadab, Yahudi Israel ke pekarangan Masjid Al-Aqsa selama tiga bulan terakhir mencatat peningkatan sebanyak 60 peratus, lapor Saluran 7 Israel.
Pusat Maklumat Palestin melaporkan, stesen TV itu mendakwa kira-kira 9,804 warga Yahudi Israel telah menceroboh bulan ini, berbanding 6,133 pada tempoh yang sama tahun lalu.
Ramai warga Israel Yahudi menyerbu pekarangan Masjid Al-Aqsa dari Gerbang Mughrabi setiap hari.
Mereka mudah melakukan demikian kerana berada di bawah perlindungan polis pendudukan Israel.
Bukan hanya menceroboh, mereka turut melakukan lawatan secara provokatif, serta melakukan sembahyang Talmud di bahagian timurnya.
Al-Aqsa mewakili tempat ketiga paling suci di dunia untuk umat Islam, sementara orang Yahudi menyebut kawasan itu sebagai ‘Temple Mount’, mendakwa ia adalah tapak dua kuil Yahudi pada zaman kuno. – Agensi