Berita UtamaDunia

Algeria putus hubungan diplomatik dengan Maghribi

Dakwa tindakan bermusuhan dilakukan Rabat punca konflik

ALGIERS, 16 Muharram 1443H, Rabu – Algeria membuat keputusan memutuskan hubungan diplomatik dengan Maghribi, kata Menteri Luar Negeri, Ramdane Lamamra dalam satu sidang akhbar, semalam.

Algeria sebelum ini mendakwa, pihaknya akan mengkaji semula hubungan kedua-dua negara setelah ‘tindakan bermusuhan’ yang dilakukan Maghribi.

“Tindakan bermusuhan yang tidak henti-henti dilakukan Maghribi terhadap Algeria telah menyebabkan perlunya kajian semula hubungan antara kedua-dua negara dan kawalan keselamatan di sempadan barat,” menurut kenyataan pihak Algeria.

Bulan lalu, Kementerian Luar Algeria memanggil duta besarnya ke Maghribi dan mengisyaratkan kemungkinan langkah selanjutnya dalam ketegangan terbaharu mengenai wilayah Sahara Barat yang dipertikaikan.

Polisario Front – gerakan pembebasan kebangsaan orang Saharawi – memperjuangkan kemerdekaan untuk Sahara Barat, satu jajahan Sepanyol hingga pertengahan tahun 1970-an yang kini banyak diduduki dan ditadbir oleh Maghribi.

Sempadan darat antara Algeria dan Maghribi ditutup sejak awal 1990-an atas faktor keselamatan, bagaimanapun memperburuk pertelingkahan antara Algiers dan Rabat yang hubungannya sudah tidak begitu baik kerana konflik. 

Sementara itu, Maghribi menyatakan kekesalannya terhadap ‘keputusan sepihak’ yang diambil oleh Algeria untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan mendakwa keputusan itu sama sekali tidak dibenarkan.

Morroco dengan tegas menolak ‘alasan palsu dan tidak masuk akal’ yang diumumkan oleh Algeria.

“Kerajaan Maghribi akan tetap menjadi rakan ikhlas dan setia buat rakyat Algeria sambil terus bekerja dengan bijak dan bertanggungjawab untuk perkembangan hubungan Maghreb (negara-negara dalam Afrika Utara) yang bermanfaat,” kata kenyataan itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button