Berita Utama

Pastikan jemaah menteri dilantik tak terpalit kes mahkamah, skandal

Segera lantik Kabinet untuk susun perancangan drastik selesai krisis pandemik, ekonomi

BANGI, 16 Muharram 1443H, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) meminta pelantikan anggota Kabinet baharu dipercepatkan bagi menyusun perancangan drastik bagi menangani perkara paling utama iaitu pandemik COVID-19.

Kabinet itu juga perlu berfungsi untuk merangsang semula ekonomi negara serta kesejahteraan sosial rakyat agar dapat dipulihkan segera selari dengan ucapan pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Memandangkan lantikan anggota Kabinet belum dibuat termasuk Timbalan Perdana Menteri yang menjalankan fungsi eksekutif PM, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berpandangan, barisan jemaah menteri yang bakal dilantik hendaklah daripada kalangan tokoh pemimpin berwibawa.

“PEMBELA menyarankan supaya Perdana Menteri melantik anggota jemaah menteri dari  kalangan tokoh terbaik yang mempunyai ciri-ciri berwibawa, cekap, amanah dan bersih dari sebarang skandal.

“…. serta tidak terpalit dengan sebarang kes mahkamah termasuk keruntuhan akhlak dan moral yang boleh memudaratkan kedudukan integriti jemaah menteri itu sendiri. 

“Malah, seorang anggota jemaah menteri juga mestilah dari kalangan mereka yang mempunyai kesedaran beragama yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sekiranya Ismail Sabri benar-benar mahu melakukan satu anjakan paradigma dalam pentadbiran negara dan melakar sejarah baharu, beliau sebagai Perdana Menteri perlu bertindak bijak, tegas dan meletakkan piawaian tinggi bagi seseorang menjawat jawatan menteri di dalam Kabinetnya. 

“Untuk kekal di tampuk kepimpinan dan memperolehi kepercayaan rakyat, Perdana Menteri mestilah dilihat sebagai seorang Perdana Menteri yang dibantu oleh jemaah menteri berwibawa serta berintegriti tinggi,” katanya.

Aminuddin juga menyatakan harapan agar kerajaan ini dapat terus kekal mentadbir negara tanpa sebarang gangguan propaganda politik oleh mana-mana pihak sehingga ke Pilihan Raya Umum ke-15 lakan datang. 

“Negara tidak mampu menghadapi satu lagi perubahan pimpinan dalam masa terdekat, dan yang lebih penting lagi mendapat bantuan Allah yang amat kita perlukan di saat getir ini,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri memaklumkan senarai jemaah menteri Kabinet akan diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, senarai jemaah menteri akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum diumumkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button