Berita Utama

2 Setiausaha UMNO Bahagian Perlis dilantik senator

Dilantik sebagai senator bagi tempoh 3 tahun sehingga 2024

KANGAR, 17 Muharram 1443H, Khamis – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini menerima cadangan pelantikan dua Ahli Dewan Negara baharu yang dikemukakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Mereka ialah Setiausaha UMNO Bahagian Padang Besar Aziz Ariffin, 68, dan Setiausaha UMNO Bahagian Arau, Seruandi Saad, 54 yang juga pegawai khas kepada Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim.

Kedua-dua mereka akan dilantik sebagai senator bagi tempoh tiga tahun sehingga 2024.

Aziz menggantikan Kamaruddin Abdun manakala Seruandi menggantikan Sabani Ahmad yang kedua-duanya tamat tempoh jawatan Senator pada 25 Julai lepas.

Cadangan pelantikan Aziz disokong oleh Ruzaini Rais (BN-Beseri) sementara cadangan pelantikan Seruandi disokong oleh Rozieana Ahmad (BN-Pauh) dan dewan sebulat suara menyokong cadangan tersebut.

Aziz yang turut bergiat aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) merupakan ahli Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Perlis sejak 2014, manakala Seruandi adalah Pengerusi Alumni Majlis Belia Malaysia Negeri Perlis dan ahli Majlis Perbandaran Kangar. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button