Dos penggalak tak bantu kawal penularan varian Delta
Liputan vaksin dalam negara mesti ditingkat terlebih dulu: KP Kesihatan

BANGI, 17 Muharram 1443H, Khamis – Pemberian dos penggalak (booster) kepada individu yang telah lengkap divaksin, tidak akan membantu mengawal penularan varian Delta.
Bagaimanapun, penularan varian Delta dapat dikawal dengan memberikan vaksin COVID-19 kepada mereka yang belum menerima vaksinasi itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
“Kita mesti meningkatkan liputan vaksin dalam negara terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan dos penggalak.
“Tiada siapa yang selamat sehingga semua orang selamat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa supaya pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 ditangguhkan, bagi memastikan bekalan dapat diberikan ke negara yang tidak mempunyai akses imunisasi.
WHO meminta kebanyakan negara kaya menangguhkan dahulu pemberian dos ketiga sehingga akhir September, untuk membolehkan sekurang-kurangnya 10 peratus populasi global mendapat vaksin.
Setakat semalam, sejumlah 59.1 peratus populasi dewasa di Malaysia sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19.
Secara keseluruhan, jumlah kumulatif dos pertama adalah 18,792,979 orang (80.3 peratus) dan 13,842,928 individu lengkap dua dos.