Berita UtamaDunia

Israel benar kelengkapan masuk Gaza untuk redakan ketegangan

Kelonggaran sekatan bergantung pada pemeliharaan keselamatan

GAZA, 17 Muharram 1443H, Khamis – Negara pengganas Israel akan membenarkan lebih banyak barang dan kelengkapan memasuki Semenanjung Gaza yang dikepung bagi projek awam serta antarabangsa susulan ketegangan yang semakin meningkat.

Keputusan itu dibuat selepas ratusan rakyat Palestin berdemonstrasi pada Rabu berhampiran pagar sempadan, menggesa Israel mengurangkan sekatan yang melumpuhkan beberapa hari selepas perhimpunan sama berakhir dengan tindakan keras tentera rejim Zionis.

Terdahulu, Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) yang memerintah Gaza, melarang orang ramai mendekati pagar dan tunjuk perasaan berakhir tanpa mengulangi keganasan pada Sabtu lalu yang menyebabkan seorang rakyat Palestin maut.

Badan kementerian pertahanan yang bertanggungjawab berhubung lintasan Israel dengan wilayah Palestin dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya akan meningkatkan import kenderaan, barang dan peralatan baharu untuk projek awam di Semenanjung Gaza.

Ia juga termasuk mengeluarkan lebih banyak permit kepada peniaga Palestin dari Gaza untuk memasuki Israel mulai Khamis.

Kelonggaran sekatan akan ‘bergantung pada pemeliharaan keselamatan wilayah yang berterusan’ dan dapat diperluas lagi jika keadaan sempadan bertambah baik, kata badan yang dikenali sebagai COGAT.

Pegawai Hamas berkata, Mesir juga akan membuka semula sebahagian lintasan sempadan utamanya dengan Semenanjung Gaza pada Khamis.

Untuk makluman, Israel dan Mesir mengenakan sekatan besar di Gaza selepas Hamas memenangi pilihan raya dan mula memerintah wilayah itu pada tahun 2007. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button