Dunia

Jepun henti guna 1.6 juta vaksin Moderna dilapor tercemar

Temui bahan asing di dalam botol yang belum dibuka

TOKYO, 17 Muharram 1443H, Khamis – Jepun akan menghentikan penggunaan 1.63 juta dos vaksin Moderna, susulan terdapat laporan pencemaran berlaku di dalam beberapa botol, kata pengeluar ubat Takeda dan Kementerian Kesihatan pada Khamis.

Takeda, yang bertanggungjawab atas penjualan dan pengedaran vaksin Moderna di Jepun berkata, pihaknya menerima laporan daripada beberapa pusat vaksinasi mengenai penemuan bahan asing di dalam botol yang belum dibuka. 

“Setelah berunding dengan Kementerian Kesihatan, kami memutuskan untuk menangguhkan penggunaan vaksin itu mulai 26 Ogos,” katanya. 

Firma itu juga memaklumkan telah memberitahu pihak Moderna dan meminta siasatan segera dibuat. 

Bagaimanapun, tiada maklum balas segera daripada pihak Moderna berhubung permintaan itu.

Takeda tidak memperincikan sifat pencemaran itu, tetapi mendakwa belum menerima laporan mengenai masalah kesihatan yang timbul akibat daripada dos tercemar berkenaan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Jepun akan bekerjasama dengan Takeda untuk mendapatkan dos alternatif bagi mengelakkan gangguan pada program vaksinasi negara.

Setakat ini, kira-kira 43 peratus penduduk Jepun telah diberikan vaksin sepenuhnya, namun negara itu kini berdepan lonjakan kes COVID-19 yang disebabkan oleh varian Delta. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button