Berita Utama

MCA ‘intai’ portfolio KPKT demi jaga kampung baru Cina?

Didakwa nak tunjuk hero di kalangan masyarakat Cina menjelang PRU15

BANGI, 17 Muharram 1443H, Khamis – Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) mendakwa, drama rakus paling menarik pasca UMNO mengambil alih pemerintahan negara adalah melihat cubaan MCA melobi jawatan menteri.

Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad mendakwa, parti berasaskan kaum itu berkemungkinan sedang ‘mengintai’ portfolio Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ini kerana, katanya, di bawah KPKT turut menjaga urus tadbir kampung-kampung baru Cina.

Justeru, beliau tidak menolak dua senario yang berkemungkinan portfolio itu antara diintai MCA, selain sejak enam dekad UMNO memerintah, kementerian berkenaan sememangnya dipegang oleh parti berkenaan.

“MCA nak tunjuk hero di kalangan masyarakat Cina terutama dalam isu penempatan kampung baru Cina menjelang PRU15.

“MCA nak jaga taikun-taikun perumahan (developer) sebab portfolio ini jugalah yang mentadbir polisi perumahan (housing policy),” dakwanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, MCA menyuarakan harapan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya pemimpin parti dilantik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang sensitif kepada keperluan penduduk Cina di penempatan kampung baru.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker mendakwa, penduduk di kampung baru terabai sejak Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan selepas pilihan raya umum 2018.

Dalam pada itu, Hazwan mendakwa, selain KPKT, MCA secara tradisinya juga akan mendapat ‘ihsan’ UMNO untuk menjaga portfolio Kementerian Pengangkutan.

“Yang mana di bawahnya juga duduk letaknya urus tadbir hampir kesemua pelabuhan-pelabuhan dagang utama negara.

“Ketika pemerintahan PH pula, portfolio ini diberi kepada DAP. Menarik bukan?,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button