Berita Utama

Pelantikan TPM bukan keutamaan beri impak kepada rakyat

Pastikan Kabinet baharu bebas rasuah, salah laku moral: GABUNG

BANGI, 17 Muharram 1443H, Khamis – Pihak Gabungan Melayu (GABUNG) menyifatkan pelantikan seorang Timbalan Perdana Menteri bukanlah satu keutamaan yang memberi impak kepada rakyat.

Bahkan, gabungan yang disokong 100 pertubuhan Melayu kebangsaan itu turut menyifatkan tiada keperluan untuk pembentukan Kabinet berskala besar tetapi gagal berfungsi.

Koordinator GABUNG, Ahmad Yazid Othman berkata, menyediakan pasukan Kabinet yang optimum dalam situasi kesihatan dan kedudukan ekonomi kian parah akan dapat memberikan mesej positif di mata rakyat.

Atas dasar itu, GABUNG turut senada dengan titah Yang di-Pertuan Agong bahawa anggota Kabinet bukan hanya berkelayakan tinggi, malah hendaklah bebas rasuah dan salah laku moral.

“Kerajaan tidak akan dapat mentadbir dengan baik selagi mana pemimpinnya terus dibayangi skandal, dihantui salah laku, kebobrokan akhlak serta ketandusan idea segar dan tindakan yang berwibawa.

“Justeru, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu serta-merta menggerakkan jentera pemulihan ekonomi pasca imuniti kelompok bagi menangani ketidaksamarataan ekonomi rentas wilayah, di samping memperbaiki nasib golongan rentan dengan memperkenalkan solusi-solusi yang lebih prorakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, GABUNG terus konsisten menyarankan supaya Majlis Khas Pemulihan Krisis Negara  (PULIH) ditubuhkan dahulu sebelum Kabinet dibentuk.

“PULIH seterusnya boleh dipantauh oleh sebuah Majlis Penasihat yang dianggotai semua parti politik yang berada di  Dewan Rakyat untuk suatu tempoh yang terhad.

“Ini juga memberi masa yang lebih untuk YAB membentuk Kabinet beliau,” katanya.

Sehingga kini, isu pembentukan Kabinet kerajaan baharu di bawah pimpinan Ismail Sabri menimbulkan pelbagai polemik, termasuk kedudukan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Perdana Menteri hari ini dilaporkan telah menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dipercayai bagi mempersembahkan cadangan senarai Kabinet kepada Seri Paduka Baginda.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button