Berita Utama

Matlamat GTA pulihkan semula negara, baiki pemerintahan telah ‘musnah’

Calon Pejuang yakin penduduk Padang Terap beri sokongan penuh

PADANG TERAP, 11 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Calon parti Pejuang di Parlimen Padang Terap, Razali Lebai Salleh melahirkan keyakinan rakyat akan memberi sokongan kepada partinya pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau yang juga bekas Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Perlis berkata, pembaharuan dan wawasan yang telah dimulakan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memulihkan semula negara melalui penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) wajar disahut rakyat.

“Kita optimis gagasan yang dibawa Dr Mahathir akan disahut oleh rakyat yang mahukan pembaharuan dan perubahan dalam pemerintahan negara hari ini.

“Bagi saya sesuatu perlu dilakukan supaya pembaharuan dapat dilakukan untuk memperbaiki sistem pemerintahan yang ada hari ini, pada pandangan saya sekarang telah musnah.

“Jadi, saya ambil inisiatif untuk menawarkan diri menjadi pemangkin ke arah itu, mengikut jejak dan wawasan yang telah dimulakan Tun Dr Mahathir,” katanya.

Tegas beliau, walaupun Pejuang dikatakan yang paling baharu, namun optimis untuk membawa perubahan dan boleh membetulkan keadaan negara di landasan yang betul.

“Saya yakin mendapat sokongan daripada rakyat bawahan dan saya ambil kesempatan ini berilah undi kepada kami, sekiranya kita sayangkan negara,” ujarnya.

Parlimen Padang Terap menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Datuk Seri Mahdzir Khalid mewakili BN, Nurul Amin Hamid (PN) dan Muaz Abdullah (PH).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button