Berita Utama

Setiausaha Wanita DAP Selangor dan aktivis didakwa merusuh

Mahkamah benarkan Nalina Nair diikat jamin RM5,000, Sujatra pula diikat jamin RM2,000

KUALA LUMPUR, 17 Muharram 1443H, Khamis – Setiausaha Wanita DAP Selangor Nalina Nair Rama Krishnan dan seorang aktivis didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merusuh dan berkelakuan tidak senonoh di sebuah balai polis di sini, minggu lepas.

Nalina Nair, 32, dan pelajar Doktor Falsafah (PhD), Sujatra Jayarah, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Tawfiq Affandi Chin dan Wong Chai Sia.

Mereka masing-masing dituduh telah merusuh, berkelakuan tidak senonoh atau mengaibkan di lobi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, pada 9 malam, 19 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal dan Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar masing-masing menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Peguam Farida Mohammad dan V. Yoges, yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guam mereka banyak terlibat dalam kerja amal selain tiada risiko untuk melarikan diri.

Yoges berkata Sujatra adalah pelajar PhD sepenuh masa dan tidak mempunyai pendapatan.

Mahkamah membenarkan Nalina Nair diikat jamin RM5,000 manakala Sujatra diikat jamin RM2,000, masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button