Pendapat

Tonggak Keluarga Malaysia

Demi kesejahteraan dan kestabilan Malaysia

TAHNIAH diucapkan kepada PM kerana memperkenalkan satu gagasan baharu bernama ‘Keluarga Malaysia’. Senang disebut dan sedap didengar. Namun, gagasan baharu ini tidak boleh dibiarkan kosong begitu sahaja. Ia perlu diisi dengan input akademik dan kembangkan sehingga menjadi satu gagasan yang menarik, dipraktikkan dan dapat mengikat keluarga besar ini.

Dalam kata lain, gagasan Keluarga Malaysia perlu ada tonggaknya, untuk dijadikan panduan, dan diamalkan. Antara beberapa tonggak yang perlu diberikan perhatian.

Tonggak pertama Keluarga Malaysia, Perlembagaan Persekutuan. Inilah tonggak utama sebagai panduan hidup bernegara, termasuk hidup berkeluarga. Tanpa tonggak ini, negara akan menjadi huru-hara. Keluarga punah ranah.

Justeru, perkara utama dalam perkembagaan mesti dijunjung dan disanjung. Hak penduduk asal mesti dihormati tanpa menafikan hak kaum lain. Contoh, kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak istimewa Melayu dan Bumiputera, kedudukan raja-raja Melayu dan sebagainya. Semua dasar ini tidak menafikan hak kaum lain.

Tonggak kedua Keluarga Malaysia, Rukun Negara. Rukun Negara hendaklah dijadikan asas hidup bernegara dan berkeluarga. Jangan hanya sebut sahaja Rukun Negara tetapi prinsipnya tidak dihayati. 1, Kepercayaan kepada Tuhan. Adakah Keluarga Malaysia benar-benar percaya dan beramalkan dengan suruhan Tuhan? 2.Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Adakah kesetiaan itu benar-benar wujud? 3. Keluhuran Perlembagaan. Sebagaimana paksi pertama tadi, adakah Perlembagaan ini benar-benar dijadikan panduan hidup bernegara dan berkeluarga. 4. Kedaulatan undang-undang. Adakah undang-undang telah dipatuhi atau masih ramai lagi yang cuba mengelak daripada undang-undang? Dan 5. Kesopanan dan kesusilaan. Adakah Keluarga Malaysia ini benar-benar, mempunyai adat budaya, kesopanan dan kesusilaan. Semua ini perlukan kepada penjelasan lanjut.

Kita lihat di televisyen sibuk berkempen pasal RN. Persoalannya sejauh mana perhayatannya? Ia hanya tinggal sebagai bahan kempen. Tidak ada perlaksanaan secara jujur apatah lagi untuk dihayati.

Tonggak ketiga Keluarga Malaysia, Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK). DKK telah digubal pada tahun 1971 tetapi dibiarkan layu begitu sahaja. Dasar tinggal dasar, tidak dilaksanakan. Keluarga Malaysia menjadi haru-biru. Tidak ada budaya teras. Sedangkan DKK menyebut dengan jelas. 1. DKK mesti berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini. Rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. 2. DKK begitu terbuka tetapi mesti ada asas. Tidak menolak unsur-unsur kebudayaan lain. Budaya lain yang sesuai dan wajar, boleh diterima kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan.

Dalam kata lain, DKK mengambil kira kerencaman budaya berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya seperti Cina, India Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi penimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan.

DKK turut menggalurkan kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara, kepentingan nasional, asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan kepada Islam sebagai agama Persekutuan khususnya. 3. Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia. Di sinilah hebatnya, pemimpin terdahulu menggariskan sesuatu dasar, mesti ada induknya. Kenapa hari ini induknya semakin hilang. Identiti apa yang ingin kita tonjolkan.

Banyak lagi tongkak sebenarnya, cukup sekadar tiga tonggak ini dahulu, ditambah lima prinsip RN dan tiga prinsip asas DKK. Jika dikembangkan sudah tentu tonggak Keluarga Malaysia akan menjadi lebih kemas dan cantik dalam melahirkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Kadangkala saya merasa pelik, kita sudah ada dasar-dasar yang begitu baik yang telah digubal pemimpin terdahulu, tetapi bila tiba kepada perlaksanaan, amat menyedihkan. Dasar hanya tinggal dasar.

Setiap pemimpin datang dan pergi, ada gagasan masing-masing. Malangnya, setiap gagasan baharu yang diwujudkan tidak merujuk kepada sejarah, Perlembagaan dan dasar-dasar yang digubal sekian lama. Kalau ada rujukan dibuat hanya sekadar batuk di tangga. Lihatlah apa sudah jadi dengan gagasan 1Malaysia dan Islam hadhari. Duit habis membuat persediaan, kempen dan sebagainya, hilang begitu sahaja apabila pemimpin tidak berkuasa lagi.

Bukan bermakna kita terpaksa terikat sehingga tidak boleh diubah. Tetapi jangan sampai hilang rohnya.

Negara ini ditegakkan ada tonggak yang menjadi asas. Dalam hal ini, mendiang Profesor Khoo Kay Kim selalu berpesan. Dalam apa jua keadaan, perkara asas seperti Melayu/Bumiputera budaya dan bahasanya serta raja-raja Melayu, tidak boleh ditolak, ia harus menjadi landasan.

Perkara ini juga yang menjadi amalan British ketika ‘menjajah’ negara ini.

Dalam apa jua keadaan, British tidak akan mengetepikan Melayu sama sekali, sebab mereka adalah majoriti dan penduduk asal.

Jika tidak, masakan wujud the Malaya Football Association 1909, ditubuh oleh British, dikhususkan untuk orang-orang Melayu. Dua tahun selepas itu, telah tertubuh 50 Kelab Bolasepak Melayu. Begitu juga dengan Kolej Melayu Kuala Kangsar 1905 dan banyak lagi. Kenapa Melayu dan rajanya menjadi perhatian British?

Begitu juga dalam Perlembagaan, kenapa ada termaktub, perkara khusus untuk Islam dan Melayu beserta raja-rajanya. Semua ini mesti ada sebab. Ia tidak terjadi begitu sahaja. Dalam kata lain, apa jua dasar dan gagasan, isu induk sepatutnya menjadi tonggak, jangan dilupakan sama sekali, semaju mana sekalipun negara.

Sebab itu, kita merasa hairan, hari ini, apabila dasar perpaduan yang diwujudkan, seolah-olah roh ini hilang. Yang mereka pentingkan soal kesepaduan, penyatupaduan dan perpaduan. Isu-isu picisan seperti kedai mamak, nasi lemah, roti canai dan lain-lain yang menjadi perhatian. Sedangkan ia hanya kosmetik. Persoalannya, apa dan di mana tonggaknya?

Justeru, kita mengharapkan apa jua gagasan demi gagasan yang lahir akibat pemimpin silih berganti, tonggak negara tidak dilupakan sama sekali. Nasib akan menjadi seperti Islam hadhari, 1Malaysia dan lain-lain lagi yang akan lahir setiap kali pemimpin negara bertukar.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button