Berita Utama

UPKO diterima secara rasmi sebagai komponen PH

UPKO merupakan blok bebas diwakili satu-satunya Ahli Parlimen, Datuk Seri Madius Tangau

KUALA LUMPUR, 17 Muharram 1443H, Khamis – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah diterima secara rasmi sebagai antara komponen Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin Nasution, yang juga Setiausaha Agung PKR, berkata keputusan tersebut telah dibuat pada Mesyuarat Majlis Presiden pakatan itu hari ini.

“PH percaya penyertaan UPKO akan terus memperkukuh kerjasama terutama dalam persiapan menuju PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15),” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, UPKO merupakan blok bebas yang diwakili satu-satunya Ahli Parlimen parti itu Datuk Seri Madius Tangau (Tuaran) dan menyatakan pendirian menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Saifuddin Nasution juga berkata pintu PH sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain malah mengalu-alukan jika pihak terbabit memohon menyertai pakatan itu.

Beliau juga memaklumkan satu pertemuan ketua-ketua parti pembangkang akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu politik semasa termasuk persiapan menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula 6 September nanti. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button