Berita Utama

KDN warta perintah larangan penerbitan jam Swatch berkaitan LGBTQ+

Kerajaan komited cegah penyebaran unsur memudaratkan

BANGI, 23 Muharam 1445H, Khamis – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan penerbitan berkaitan lesbian, gay, bisexual, transgender, ‘queer’ dan + Plus (LGBTQ+) pada jam jenama Swatch termasuk apa-apa koleksi kotak, pembalut dan aksesori berkaitan pada jam berkenaan.

KDN dalam kenyataan, hari ini memaklumkan, perintah larangan melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 236 itu berkuat kuasa mulai hari ini.

Katanya, pewartaan perintah larangan itu selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012.

Peruntukan itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan berkenaan adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

“Kerajaan Malaysia komited mencegah penyebaran unsur-unsur yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan kemoralan, kepentingan awam dan negara dalam kalangan masyarakat.

“Dalam hal ini, hasil penerbitan tersebut dikenakan tindakan perintah larangan kerana ianya merupakan hasil penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan kemoralan, kepentingan awam, dan kepentingan negara dengan mempromosikan, menyokong dan menormalisasikan gerakan LGBTQ+ yang tidak diterima oleh masyarakat umum di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya.

“KDN sekali lagi ingin menyatakan komitmen dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan.

“Ia bagi membanteras penyebaran elemen, fahaman dan gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan dari semasa ke semasa secara berterusan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button