60 maut letupan di lapangan terbang Kabul
Pengebom bunuh diri sasar penterjemah, kolaborator dengan tentera AS

KABUL, 18 Muharram 1443H, Jumaat – Sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dalam dua letupan kuat di luar lapangan terbang antarabangsa Kabul.
Semalam, dua pengebom bunuh diri dan kumpulan bersenjata menyerang sekumpulan rakyat Afghanistan yang bepusu-pusu ke lapangan terbang Kabul untuk melarikan diri selepas Taliban menguasai negara.
ISIS mendakwa mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
Katanya, salah satu pengebom bunuh diri menyasarkan ‘penterjemah dan kolaborator dengan tentera Amerika’.
Pihak berkuasa berkata, serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 60 rakyat Afghanistan dan 12 tentera Amerika Syarikat (AS).
Seorang pegawai Taliban sebelum ini mendakwa, kanak-kanak adalah antara yang terkorban.
Hospital Kecemasan utama di bandar itu menerusi akaun Twitter berkata, sekurang-kurangnya 60 orang yang cedera dipindahkan ke kemudahan mereka setakat ini.
Keadaan kacau-bilau di luar Hospital Kecemasan susulan puluhan kereta dan ambulans membawa mereka yang cedera termasuk warga tua dan kanak-kanak.
Ahli keluarga yang mencari maklumat mengenai saudara-mara mereka yang dilaporkan cedera dalam letupan itu menunggu dengan cemas di luar hospital. – Agensi