Berita UtamaIstimewa

Kabinet baharu tapi ‘recycle’ muka lama

Jika tak berjaya dapat majoriti undi percaya, ISMA syor Istana Negara ambil alih pentadbiran

BANGI, 18 Muharram 1443H, Jumaat – Seperti sudah dijangka, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengekalkan ‘muka lama’ dalam senarai anggota Jemaah Kabinet baharu.

Meskipun ada bertukar portfolio, masih terdapat menteri yang terus menerajui kementerian yang sama, seolah-olah Kabinet ini hanya bertukar Perdana Menteri.

Apapun, rakyat tetap berharap Perdana Menteri dapat menggerakkan seluruh anggota Kabinet ini membebaskan negara daripada ancaman COVID-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.

Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berpandangan, pembentukan Kabinet baharu mungkin hanya boleh dianggap penyelesaian sementara supaya proses undi percaya yang dijadualkan September nanti berjalan dengan baik.

“Dengan pembentukan Kabinet ini kita susah untuk menjangkakan apa yang berlaku sama ada ‘muka lama’ ini akan ‘perform’ apabila disusun semula.

“Tetapi kita sebagai rakyat mengharapkan yang terbaik daripada Kabinet ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Biarpun begitu, Ustaz Fauzi tidak menolak kemungkinan bahawa Perdana Menteri akan berdepan cabaran sebenar sekiranya berjaya memperoleh majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat nanti.

Ini kerana beliau terpaksa bekerja dengan barisan Kabinet yang lebih kurang sama dengan pentadbiran perdana menteri sebelum ini yang diturunkan atas sebab prestasi.

“Namun jika Datuk Seri Ismail Sabri tidak berjaya mendapat (majoriti) undi percaya pada September, maka pada masa itu kita ingin mencadangkan seperti sebelum ini supaya Istana Negara mengambil alih pentadbiran negara.

“Pada masa sama menubuhkan jawatankuasa yang terdiri daripada penjawat awam yang mempunyai kemahiran untuk mengurus dan mentadbir negara bagi satu tempoh sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Barisan Kabinet baharu di bawah pimpinan Ismail Sabri tidak melibatkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya beliau melantik empat menteri kanan.

Empat menteri kanan itu adalah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kanan Kerja Raya; Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button