Berita UtamaDunia

5 terbunuh serangan bersiri di Syria

Bapa maut selepas berusaha selamatkan anak

BEIRUT, 2 Safar 1443H, Khamis – Beberapa orang awam terbunuh dalam serangan bersiri oleh kerajaan dan sekutunya di barat laut Syria – yang dikuasai pemberontak.

Pertahanan awam Syria berkata, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam serangan tembakan di seluruh wilayah Idlib pada Selasa dan Rabu.

Fatima al-Khatib terbunuh dalam tembakan artileri yang memusnahkan sebuah bangunan yang terletaknya pusat perubatan di Marayan, di daerah Jabal al-Zawiya di selatan Idlib semalam.

Fatima tinggal dengan suaminya Nizar al-Khatib – yang bertugas sebagai pengarah pusat perubatan – di bangunan berkenaan.

Ia merupakan satu-satunya pusat perubatan bagi ribuan orang awam di kawasan itu.

“Kami akan meneruskan kerja kemanusiaan berkhidmat kepada orang awam dalam semua keadaan, cabaran dan keganasan sekalipun, ” kata Nizar al-Khatib kepada Al Jazeera.

Sekurang-kurangnya empat orang awam terbunuh dalam serangan berasingan di kawasan perumahan di bandar Idlib kelmarin, kata kumpulan mencari dan menyelamat yang beroperasi di kawasan dikuasai pemberontak.

Antara yang terkorban adalah seorang wanita berusia 21 tahun, seorang pegawai kanan universiti dan anak lelakinya yang berusia 12 tahun, kata aktivis.

Sekurang-kurangnya 11 yang lain cedera dalam serangan berkenaan.

Sumber Al Jazeera memberitahu bahawa Ketua Jabatan Perakaunan di Fakulti Ekonomi Universiti Idlib, Nour el-Din Afair, terbunuh dalam serangan roket ketika berusaha menyelamatkan anaknya yang cedera akibat serangan sama sebelum ini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button