Berita Utama

Kabinet: Dulu kata kerajaan gagal tapi kekal tokoh sama

Helah politik tidak matang dalam meletak hala tuju negara

BANGI, 18 Muharram 1443H, Jumaat – Barisan Kabinet baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif, sebaliknya menampakkan ketidakmatangan ahli politik Melayu dalam meletak hala tuju negara.

Ini kerana pelantikan seramai 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri itu hanya memperlihatkan beberapa muka baharu manakala selebihnya tiada beza dengan kerajaan terdahulu.

Justeru tidak menjadi kesalahan mengatakan pertukaran kerajaan kali ini seperti kebudakan-budakan, kata pemerhati politik, Ustaz Sharipudin Abdul Kadir.

Beliau menegaskan perkembangan politik semasa hanya mainan politik parti Melayu yang tidak menguntungkan bangsa majoriti.

“Helah politik yang amat kerdil. Rakyat dapat melihat dengan mata kasar.

“Dulu kata kerajaan gagal. Tukar kerajaan baharu. Tapi kekal dengan tokoh sama.

“Ada tokoh yang ditukar pun bukan kerana kepakaran tetapi lebih kepada kuota parti,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Biarpun berpendapat barisan Kabinet yang diumumkan hari ini tidak ada perbezaan ketara dengan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ustaz Sharipudin menyambut baik pelantikan tokoh lama yang kompetensi.

“Tiada apa-apa perbezaan yang ketara dengan kerajaan dulu.

“Helah politik yang menampakkan ketidakmatangan ahli-ahli politik Melayu dalam meletak hala tuju negara.

“Jelas kematangan ahli politik Melayu amat jauh. Ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Setakat itu sahaja pemikiran ahli-ahli politik Melayu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button