Berita Utama

Kementerian perlu buktikan pencapaian awal dalam 100 hari: PM

Setiap kementerian diminta buat perancangan jangka pendek dan panjang serta capai sasaran

BANGI, 18 Muharram 1443H, Jumaat – Setiap kementerian diminta membuktikan pencapaian awal masing-masing dalam tempoh 100 hari pertama, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, usaha itu dibuat untuk memastikan Kabinet baharu menekankan budaya kerja berprestasi tinggi. 

“Justeru, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan. 

“Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,” katanya dalam sidang media pengumuman Kabinet, hari ini.

Beliau berkata, barisan Kabinet yang dibentuk hari ini merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat. 

“Kabinet ini perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, beliau akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

“Barisan Kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, bagi mendepani cabaran semasa, Kabinet ini perlu berorientasikan hasil yang berlandaskan kepada tiga prinsip.

Antaranya peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat.

“Sesungguhnya, barisan Kabinet ini juga mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka, dengan menyantuni aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button