Berita Utama

Menteri, timbalan menteri zahir penghargaan

Berazam untuk sama-sama jayakan Kabinet Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Muharram 1443H, Jumaat – Pertama kali dilantik menganggotai barisan Kabinet, Naib Presiden PAS Idris Ahmad berdoa diberikan kekuatan, kesihatan dan integriti untuk menggalas amanah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Alhamdulillah, syukur atas pelantikan ini,” kata Idris, 58, kepada Bernama.

Idris berkata beliau akan meneruskan dan memperkasakan Dasar Manhaj Rabbani iaitu dasar pentadbiran Islam yang berpaksikan tiga ciri utama — Thaqafah (keilmuan), Ruuhaniyyah (kerohanian) dan Da’wah (aktivisme) seperti yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini.

Idris antara muka baharu yang diberi kepercayaan menyertai kerajaan Persekutuan di bawah Kabinet pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selain bekas Menteri Besar Perak yang juga Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Muka baharu lain dalam barisan Kabinet ialah Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaludin Alias yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Zawawi Salleh yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II.

Ismail Sabri hari ini mengumumkan senarai barisan ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’ melibatkan 31 menteri termasuk empat menteri kanan yang akan menjadi pasukan pengurusan yang bekerja bersama rakyat, serta 38 timbalan menteri.

Sementara itu, Jalaluddin yang menyifatkan tanggungjawab baharu itu sebagai amanah dan cabaran, berazam memberikan perkhidmatan terbaik

“Saya juga ingin mengingatkan kepada diri ini bahawa lantikan ini satu cabaran untuk memenuhi aspirasi kerajaan dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat dan bukan setakat mengisi kekosongan jawatan (timbalan menteri),” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang terus diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai menteri kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri komited untuk memastikan ekonomi negara terus mara atas pertumbuhan mampan dan pemulihan lestari demi Keluarga Malaysia.

“Terima kasih YAB @IsmailSabri60 atas kepercayaan dan amanah untuk saya kekal memimpin

@MITIMalaysia. Back to serve (Berkhidmat kembali),” katanya dalam catatan di Twitter.

Khairy Jamaluddin yang dipertanggungjawab menerajui Kementerian Kesihatan menzahirkan penghargaan kepada perdana menteri atas pelantikannya dan akan menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh.

“Terima kasih kepada YAB PM, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan yang diberi. Insya-Allah, amanah yang sangat berat ini akan saya pikul dengan bersungguh demi Keluarga Malaysia,” katanya.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bertukar portfolio sebagai Menteri Pertahanan memberi jaminan akan menggalas tugas sebaiknya demi warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sangat berjasa kepada negara.

“Kepercayaan PM Ismail Sabri Yaakob untuk saya kembali menerajui Kementerian Pertahanan Malaysia amat dihargai. Insya-Allah, will do my utmost best (saya akan melakukan yang terbaik),” kata Ahli Parlimen Sembrong itu dalam hantaran di laman Twitternya.

Bagi Datuk Seri M.Saravanan yang kekal memegang portfolio sebagai Menteri Sumber Manusia, berkata dasar kementerian yang diperkenalkannya sebelum ini akan diteruskan dan ditambah baik.

Bercakap dalam program khas ‘Kabinet Baharu Malaysia’ di Bernama TV, beliau berkata dasar sedia ada khususnya soal pengurusan pekerja asing dan jaringan keselamatan pekerja akan diberi lebih perhatian.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang menerajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi catatan di Twitter pula berkata : “TERIMA KASIH YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB @IsmailSabri60 atas kepercayaan kepada saya mengkhidmati Keluarga Malaysia di @kpkt_gov . Segalanya Demi Malaysia.”

Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Eddin Syazlee Shith yang pernah berkhidmat dalam tiga portfolio berbeza sebelum ini, diberi kepercayaan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

“Saya berasa teruja dapat berkerja dengan pemimpin berpengaruh serta berpengalaman seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), banyak pengalaman baharu yang akan saya pelajari daripada beliau,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button