Pembangkang tetap jalan peranan sama, tapi alu-alukan pendekatan politik baharu
Kalau dulu pembangkang dianggap musuh ketat, itu politik kurang matang

KUALA LUMPUR, 18 Muharram 1443H, Jumaat – Pembangkang akan tetap menjalankan peranan yang sama, namun peta politik kini sudah berubah dan lebih matang, demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kalau dulu pembangkang dianggap musuh ketat, yang mana ini adalah politik kurang matang dan menimbulkan permusuhan, pergeseran peribadi yang tidak berkesudahan.
“Sebab itu kita mengalu-alukan naratif dan pendekatan politik baharu yang lebih matang,” katanya.
Anwar yang merupakan ketua pembangkang berkata, rakyat berhak bersetuju sepenuhnya dengan kerajaan, bersama dengan parti-parti dalam kerajaan atau memilih untuk tidak bersetuju dengan bersama menyokong pembangkang atau memilih untuk berkecuali.
Anwar berkata, terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak berbincang perkara yang disepakati berkait COVID-19 kerana harus ada pendekatan baharu yang lebih berkesan.
Mereka antara lain berbincang mengenai cadangan peruntukan tambahan untuk rakyat yang dikemukakan Pakatan Harapan (PH) melibatkan dana sebanyak RM45 bilion.
“Datuk Seri Ismail (Sabri) kata boleh tetapi mesti ada kesepakatan, kemudian kita tambah, jangan ada wang, dana yang begitu besar tetapi apakah kaedah tender, pembelian, kos yang munasabah, jangan ada ketirisan, ada kebocoran, maka harus ada pemantauan.
“Kita mengolah satu perkara persefahaman yang baharu dan dalam masa yang sama peranan kami masih membangkang, masih memantau mencari kelemahan besar sama ada dasar atau pun pelaksanaan, jadi ini tidak berubah,” katanya.
Beliau berkata, perjumpaan itu bukan untuk meminta jawatan dan tidak ada rundingan, yang ada hanya dua perkara iaitu soal COVID-19 dan ekonomi rakyat.
“Sekiranya perkara ini dapat disepakati, maka kita beri jaminan kerajaan itu agak stabil dan kita juga berharap agar jemaah menteri akan lebih berwibawa dan kita harap janganlah ambil (jemaah menteri) yang prestasinya sangat lemah.
“Kita mengambil atas nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai mematangkan politik, jadi kita tidak mahu mengheret polis, SPRM tetapi kalau bersalah, itu soal lain,” katanya.