Berita Utama

Kini dikuasai elitis, politik Malaysia perlukan nafas baharu!

Kemelut politik membimbangkan, tidak bawa hasil kepada ummah

BANGI, 1 Rabiulawal 1442H, Ahad – Malaysia memerlukan nafas baharu dalam politiknya yang sudah terlalu lama dikuasai oleh kelompok elit dan berkepentingan.

Kemelut politik yang berlaku sekarang adalah manifestasi kepada permasalahan itu yang menyaksikan wujudnya politikus yang hanya mementingkan survival bersifat peribadi.

Ahli Jawatankuasa Pusat gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat memberi amaran, perkara tersebut membimbangkan dan tidak membawa apa-apa hasil kepada ummah.

“Rakyat terutama orang Melayu Islam yang menantikan dengan penuh harapan kepada pembelaan nasib bangsa dan agama umpama menanti sesuatu yang tidak akan kunjung tiba.

“Ahli-ahli politik yang kini menjadi pemerintah dan kerajaan tiba-tiba lidahnya bertukar menjadi kelu dalam memperjuangkan isu-isu Islam dan Melayu.

“Di mana kesungguhan mereka dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin terutama yang datang dari negara China?,” soalnya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Bukan itu sahaja, Ustaz Shuhaib turut mempersoalkan kesungguhan kerajaan membela kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang terbunuh secara kejam ketika berkhidmat.

“Kenapa begitu lunak dalam isu berkaitan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan sekolah vernakular? Apa sudah jadi dengan kempen Buy Muslim First? Adakah mereka sudah menjadi bisu dan buta?

“Itu sekadar beberapa isu yang suatu ketika dahulunya lantang diperjuangkan oleh parti-parti Melayu Islam yang kini sudah pun memegang tampuk pemerintahan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat selamanya tidak akan berdiam diri dan akan terus memperjuangkan isu-isu Islam Melayu.

“Kebangkitan itu akan muncul dan didukung oleh semua rakyat Malaysia yang setia dan cintakan tanah air ini sebagai sebuah negara berdaulat tanpa sebarang penguasaan asing dalam apa bentuk sekalipun,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button