Berita Utama

ISMA terus dukung perjuangan Tanah Rizab Melayu

Haji Aminuddin ulangi sokongan, sambut baik gesaan PPIM

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 23 Safar 1442H, Ahad – Peringatan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang merayu semua pihak bekerja keras mempertahankan isu Tanah Rizab Melayu mendapat reaksi positif dari – gerakan yang menjunjung tinggi Perlembagaan – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Ini selepas Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya sekali lagi mengulangi pendirian untuk menyokong gesaan yang memberi manfaat serta kebaikan kepada orang Melayu itu.

Sokongan itu bertitik tolak kepada peringatan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan yang memberi amaran, nasib orang Melayu boleh menjadi seperti etnik Islam Rohingya dan Melayu Champa jika isu tersebut tidak ditanggani secara bersungguh-sungguh mulai dari sekarang.

“ISMA menyokong kembalikan Tanah Rizab Melayu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) pernah menggesa, kerajaan menubuhkan satu kementerian baharu bagi menjaga Tanah Rizab Melayu.

Beliau mengesyorkan kerajaan menamakan ia sebagai Kementerian Tanah dan Hak Peribumi.

Jelasnya, cadangan dikemukakan itu ekoran kebimbangan PEMBELA akan kehilangan sebahagian besar Tanah Rizab Melayu yang kini hanya tinggal sekitar 12 peratus sahaja.

“Ia mesti diganti balik dengan nilaian yang sama bagi mengembalikan semula hak orang Melayu yang telah dicabuli seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Fasa 89 dan 89 (3) serta Wasiat Raja-Raja Melayu.

“Oleh itu, PEMBELA menggesa supaya kerajaan menubuhkan Kementerian Tanah dan Hak Pribumi,” tegasnya.

Bukan itu sahaja, PEMBELA juga pada 2 September lalu menggesa, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha kebun durian yang didakwa meneroka tanah secara haram di Pahang.

Aminuddin menuntut supaya tanah berkeluasan 4,400 hektar itu dijadikan Tanah Rizab Melayu kerana menurutnya terlalu banyak tanah yang diceroboh dan tidak diganti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button