Pendapat

Ramai kecewa barisan Kabinet baharu, hanya untungkan pemain politik tertentu

Rakyat harap perubahan besar seperti pengecilan saiz Kabinet

SANGAT sedikit perubahan dalam barisan Kabinet di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini, walaupun rakyat harapkan perubahan yang besar seperti pengecilan saiz Kabinet, lantikan muka-muka baharu yang lebih bersih, berakhlak dan benar-benar berkemampuan.

Jadi, saya berpendapat bahawa tidak banyak perubahan yang bakal terjadi, malah diteruskan sahaja apa yang dilakukan pada sebelum ini. Saya pasti rata-rata daripada rakyat berfikir begitu.

Saya lihat, ramai sudah mula kecewa apatah lagi pergolakan politik yang berlaku nampaknya hanya membuang masa rakyat dan hanya menguntungkan pemain-pemain politik tertentu.

Apa yang paling menarik perhatian saya ialah jawatan Menteri Agama dan jawatan Menteri Luar.

Bagi jawatan Menteri Agama, saya berharap agar YB Idris Ahmad dapat menonjolkan imej yang lebih tegas dalam agenda syariah dan kedaulatan agama Islam di Malaysia ini. Berdasarkan karakter beliau, mungkin ada sinar baharu tetapi kita tidak tahu apa yang beliau benar-benar akan laksanakan nanti.

Bagi jawatan Menteri Luar pula, saya merasakan Datuk Saifuddin Abdullah adalah individu yang paling tidak layak kerana beliaulah Menteri Luar pada zaman PH di mana ICERD telah diratifikasi.

Satu lagi perbezaan ketara ialah, hanya Menteri Kewangan sahaja yang merupakan teknokrat dab bukan di kalangan parti politik berbanding dahulu. Nampaknya pimpinan negara masih belum bersedia ke arah itu sebagaimana banyak negara maju lain.

Majoriti besar dari anggota Kabinet adalah Melayu Islam, maka semestinya agenda Melayu Islam perlu diperkasakan. Saya harap agar slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang dilaungkan tidak menyebabkan mereka lupa akan hakikat ini.

Walaupun bercampur kekecewaan, rakyat pasti bakal menilai 100 hari pertama yang dijanjikan, sama ada KPI tercapai atau gagal. Malah, KPI setiap kementerian itu mesti diumum kepada umum.

Walau bagaimanapun, saya rasa kita hanya mampu berharap agar Kabinet ini dapat berubah di bawah Perdana Menteri baharu kerana pemusatan kuasa terhadap Perdana Menteri di negara kita adalah sangat besar. Kalau melingkup, melingkuplah semua.

Itulah tugas dan cabaran yang sangat berat yang bakal digalas oleh Datuk Seri Ismail Sabri ketika ini, iaitu meraih kepercayaan rakyat dengan pasukan lama yang terpalit dengan pelbagai label ketika kerajaan sebelum ini.

Haji Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button