Berita Utama

Pertimbang Istana Negara ambil alih pentadbiran jika usul percaya gagal

Tubuh jawatankuasa di kalangan penjawat awam urus negara hingga PRU15

BANGI, 19 Muharram 1443H, Sabtu – Saranan supaya Istana Negara mengambil alih pentadbiran sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal memperoleh sokongan majoriti undi percaya pada September ini wajar dipertimbangkan semua pihak.

Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni mengesyorkan perkara itu dipercayai bagi memastikan krisis kesihatan dan ekonomi negara dapat ditangani dengan baik.

Pada masa sama, beliau menyarankan supaya jawatankuasa yang terdiri daripada penjawat awam yang mempunyai kemahiran untuk mengurus dan mentadbir negara ditubuhkan bagi satu tempoh sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ustaz Fauzi menyuarakan kembali saranan itu selepas Ismail Sabri mengumumkan barisan Kabinetnya semalam yang tidak melibatkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya beliau melantik empat menteri kanan.

Pembentukan Kabinet di bawah pentadbiran beliau turut menyaksikan dua muka baharu dilantik sebagai menteri iaitu Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Belia dan Sukan menggantikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang bertukar portfolio kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Selain itu, Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad pula dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggantikan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Susulan pengumuman itu juga, Perdana Menteri menetapkan setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

Ismail Sabri berkata, barisan Kabinet dan kementerian perlu dipastikan berupaya menggalas tanggungjawab diamanahkan dengan komited dan lebih proaktif.

Menerusi satu kenyataan ringkas, pemerhati politik, Ustaz Haji Omar Kassim bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan Presiden ISMA itu.

“Jika Perdana Menteri kesembilan tidak mendapat majoriti undi percaya di Parlimen September ini, pada masa itu kita cadangkan cukuplah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button