2 individu meninggal selepas disuntik vaksin Moderna didakwa tercemar
Kementerian Kesihatan Jepun masih siasat punca kematian

TOKYO, 19 Muharram 1443H, Sabtu – Dua individu dilaporkan meninggal dunia didakwa setelah menerima suntikan vaksin Moderna daripada bekalan yang telah dihentikan penggunaannya oleh Jepun berikutan penemuan bahan tercemar.
Kementerian Kesihatan Jepun memaklumkan, mangsa lelaki berusia 30-an itu meninggal dunia bulan ini, selepas beberapa hari menerima dos kedua vaksin berkenaan.
Katanya, masing-masing didakwa menerima suntikan salah satu daripada beberapa botol vaksin yang dipercayai mempunyai bahan tercemar.
Bagaimanapun, kementerian berkata, punca kematian berkenaan masih disiasat.
Sebelum ini, Jepun menghentikan penggunaan 1.63 juta dos Moderna yang diagihkan ke 863 pusat vaksinasi di seluruh negara, seminggu selepas pengedar tempatan, Takeda Pharmaceutical menerima laporan pencemaran di dalam beberapa botol.
Kerajaan dan Moderna mendakwa bahawa vaksin itu tidak mempunyai masalah keselamatan atau keberkesanan, namun penghentian penggunaan hanya sebagai langkah berjaga-jaga.
Sumber kementerian sebelum ini mendakwa bahawa bahan cemar yang ditemukan dalam botol vaksin berkenaan dipercayai zarah logam. – Agensi