Berita UtamaDunia

Pemindahan rakyat, tentera Turki dari Afghanistan selesai

Ankara yakin diperlukan lindungi lapangan terbang Kabul

ANKARA, 19 Muharram 1443H, Sabtu – Turki selesai memindahkan semua tentera dan orang awamnya dari Afghanistan dengan hanya tinggal ‘sekumpulan teknikal’ kecil di negara itu, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Bercakap pada sidang media di Sarajevo bersama pemimpin Bosnia dan Herzegovina, Erdogan berkata, 500 tentera Turki yang ditempatkan di Afghanistan kini telah kembali ke Turki.

“Kami telah membawa pulang orang awam kita. Sekarang masih ada sebilangan kecil kakitangan teknikal. Di luar itu, semua pasukan kami telah ditarik balik dari Afghanistan,” katanya.

Presiden Turki itu menambah bahawa tidak jelas mengenai konflik yang akan berlaku antara Taliban dan IS berikutan serangan dahsyat pada Khamis lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, Kabul.

Pengebom bunuh diri dan sekumpulan lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya 170 orang, lapor media tempatan, dengan lebih daripada 200 orang cedera.

“Yang jelas terdapat pertempuran organisasi pengganas,” kata Erdogan.

Terdahulu, Erdogan berkata, pihak berkuasa Turki dan Taliban berusaha mencapai pemahaman sama ada kehadiran Ankara diperlukan untuk melindungi lapangan terbang Kabul.

Mesyuarat berlangsung selama tiga setengah jam.

Ankara percaya pengeboman bunuh diri telah memperkuat hujahnya bahawa sejumlah besar tenteraTurki diperlukan untuk melindungi kawasan tersebut agar lapangan terbang dapat beroperasi dengan lancar.

Erdogan berkata, Taliban mahu mengawasi keselamatan di lapangan terbang, sambil menawarkan Ankara pilihan untuk menjalankan logistiknya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button