Berita Utama

PM ‘dihentam’ didakwa langgar SOP rentas negeri, ziarah kubur?

Netizen minta Ismail Sabri tunjuk teladan baik kepada rakyat

BANGI, 19 Muharram 1443H, Sabtu – Baru genap seminggu dilantik menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini ‘dihentam’ oleh kebanyakan pengguna media sosial.

Ini susulan tindakan beliau pulang ke kampung halaman di Temerloh, Pahang dan menziarahi perkuburan kedua ibu bapa, Allahyarham Yaakob Abdul Rahman dan Allahyarhamah Wan Jah Wan Hamat ketika dalam perjalanan menghadiri beberapa program di Parlimen Bera.

Ternyata tindakan itu mengundang rasa kecewa dan kesal dalam kalangan netizen yang rata-ratanya tidak berpuas hati kerana ia jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang masih berkuat kuasa.

“Rakyat tak boleh nak jumpa mak bapa. Ziarah kubur pun tak boleh,” tulis Aripin Mohamed.

“Baru berapa hari jadi PM dah langgar SOP ciptaan sendiri. Tolonglah tunjuk teladan baik sikit, rakyat memerhati,” tegur Muhd Hazim.

“Ismail Sabri Yaakob dah boleh rentas negeri untuk balik kampung, tak payah surat. Ke menteri saja boleh balik rakyat tak boleh,” kata Fathi Afk Pen’Qo.

Netizen turut mempersoalkan perbezaan penguatkuasaan SOP yang dikenakan ke atas rakyat biasa dan golongan menteri.

Malah, segelintir mereka juga menuntut Ismail Sabri memberi kelonggaran kepada individu yang lengkap dua dos vaksin untuk pulang menziarahi ibu bapa di kampung seperti mana kelonggaran diberikan kepada pemimpin negara.

“Bagilah rakyat yang sudah dua dos nak rentas negeri dan daerah. Katanya dah siap vaksin boleh balik jumpa ibu bapa. Jangan biar rakyat marah dengan janji manis,” kata Sarina Jamaludin.

“Harap kerajaan bubar balik SOP ziarah tanah perkuburan sebab kitorang pun nak ziarah kubur arwah bapa. Orang lain pun sama mesti nak ziarah kubur family masing-masing,” tulis Afny Reanne Aryanna Schweitz.

Meskipun begitu, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad berkata, Ismail Sabri tidak melanggar SOP ketika menziarahi kubur ibu bapanya berikutan tiada secara khusus dalam PPN ketika ini.

Katanya, aktiviti ziarah itu tidak membabitkan kumpulan individu yang ramai dan bukan berlaku setiap hari.

“Saya rasa tidak ada isu berbangkit kerana mereka yang hadir memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

“Sebelum ini memang ada SOP ziarah kubur dikeluarkan MKN, namun ia khusus sempena sambutan Aidiladha dan Aidilfitri kerana dikhuatiri berlaku kehadiran pengunjung yang ramai pada satu-satu masa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button