Dunia

Iraq isytihar berkabung 3 hari hormati mangsa serangan AS

Kementerian Luar akan panggil Duta AS di Baghdad sebagai protes

BAGHDAD, 23 Rejab 1445H, Ahad – Perdana Menteri Iraq, Mohammad Al-Sudani mengarahkan tempoh berkabung selama tiga hari bagi mengenang anggota tentera dan orang awam yang terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS).

Perkara itu dimaklumkan pejabat media Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Sabtu, menurut agensi berita Iraq, INA.

“Perdana Menteri Al-Sudani mengisytiharkan tempoh berkabung tiga hari di seluruh jabatan dan institusi negeri sebagai penghormatan kepada para syuhada angkatan tentera dan orang awam kita yang kehilangan nyawa akibat serangan udara AS di kawasan Akashat dan Qa’im di wilayah Anbar barat.

“Sebagai protes terhadap pencerobohan Amerika yang menyasarkan tapak tentera dan orang awam Iraq, Kementerian Luar Negeri akan memanggil Kuasa Usaha Kedutaan AS di Baghdad, David Burger,” katanya.

AS mula melancarkan serangan udara pada Jumaat terhadap Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC)-Pasukan Quds dan tentera yang disokong Iran di Iraq serta Syria selepas serangan dron berani mati membunuh tiga tentera AS di Jordan.

Serangan dilancarkan menerusi banyak pesawat, termasuk pengebom jarak jauh yang dilancarkan dari AS, kata Central Command (CENTCOM) dalam kenyataan.

Kerajaan Iraq memaklumkan sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan 25 cedera dalam serangan AS itu.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button