Berita Utama

Sindiket penipuan agen e-dagang libat kerugian RM2.3 juta tumpas

3 warga tempatan ditahan dalam serbuan di Johor Bahru

BANGI, 19 Muharram 1443H, Sabtu – Polis menerima sejumlah 164 laporan berkaitan penipuan tawaran kerja agen platform e-dagang membabitkan kerugian bernilai RM2,394,430,14 sejak Januari hingga 12 Julai lalu.

Berdasarkan maklumat, sindiket berkenaan dikesan mempunyai jalinan kerjasama dengan sindiket antarabangsa dan turut menipu mangsa dari negara jiran, Singapura.

Satu serbuan telah dijalankan antara Jabatan Jenayah Komersil bersama Commercial Affairs Department, Singapore Police Force pada 26 Ogos lalu di sebuah kondominium mewah di Taman Desa Skudai, Johor Bahru.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, lokasi itu dipercayai menjadi pusat operasi sindiket antarabangsa penipuan tawaran pekerjaan.

“Seramai 3 individu berbangsa Cina warga tempatan berusia lingkungan umur 21 hingga 27 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.

“Turut dirampas dua unit komputer riba, tujuh unit telefon bimbit, satu unit tablet, 12 keping kad ATM, satu utas jam tangan, dua unit router, dua keping business token dan beberapa dokumen berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997.

Katanya, tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA 2001) juga akan diambil.

“Berdasarkan siasatan, sindiket ini mula beroperasi sekitar Jun 2021. Menggunakan kemudahan media sosial seperti Instagram dan Facebook.

“Sindiket ini menawarkan peluang kerja sebagai agen syarikat untuk membeli barangan yang diiklankan melalui platform e-dagang,” katanya.

Beliau berkata, pembelian tersebut didakwa untuk menaikkan rating dan nilai jualan syarikat yang berkaitan.

“Pendapatan harian dijanjikan adalah antara RM200 hingga RM300. Mangsa yang berminat akan menerima mesej melalui Whatsapp yang mengandungi pautan untuk barangan yang perlu dibeli.

“Bagi setiap barangan yang dibeli, mangsa akan dibayar semula nilai barangan yang dibeli beserta tambahan komisyen lima peratus hingga lapan peratus,” katanya.

Katanya, proses pembelian dan bayaran semula akan berulang-ulang dimulai dengan barangan murah.

“Namun, apabila mangsa membuat pembelian barangan yang mahal, bayaran tidak lagi dibuat atas alasan masalah pemindahan wang.

“Mangsa seterusnya diminta membuat bayaran ke dalam akaun keldai kononnya sebagai yuran pemprosesan, penalti cukai, tukaran wang asing dan sebagainya.

“Mangsa hanya akan sedar ditipu apabila wang yangg dijanjikan tidak diterima walaupun mereka telah membuat pembayaran wang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button