Berita Utama

COVID-19: Mutasi A701V tersebar ke banyak kluster gelombang ke-3

Tular bersama perebak D614G berikutan peningkatan luar biasa kes

KUALA LUMPUR, 10 Jamadilawal 1442H, Jumaat – A701V, virus COVID-19 bermutasi yang dikesan dalam sampel Kluster Benteng LD di Sabah, telah tersebar ke sebahagian besar kluster dalam gelombang ketiga di Semenanjung Malaysia dan Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata mutasi itu pertama kali dikesan dalam kalangan 22 jujukan SARS-CoV-2 dan antara kluster gelombang ketiga yang telah dijujukkan ialah Teratai, generasi ketiga Benteng LD, Tapak Bina Damanlela, Perigi, Selasih, Saguking, Tenaga, Kasih, Bah Ketil, Bukit dan Kaya.

“A701V itu kini menular bersama-sama jenis perebak utama D614G berikutan peningkatan luar biasa kes semasa gelombang ketiga.

“Memandangkan kebanyakan kluster mempunyai jenis ini, kehadiran A701V mungkin memberikan kelebihan tambahan kepada virus itu dalam menjadi strain dominan, mungkin menjadikannya lebih mudah menjangkiti,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook hari ini.

Dr Noor Hisham berkata prevalens A701V dalam kalangan kes gelombang ketiga ialah 86 peratus manakala D614G ialah 100 peratus.

Beliau berkata di peringkat global, Afrika Selatan, Australia, Belanda dan England juga melaporkan kehadiran jenis A701V pada waktu hampir sama dengan Malaysia.

“Dalam GISAID (satu inisiatif sains global dan sumber utama untuk data genom virus influenza), prevalens strain ini didapati sekitar 0.18 peratus dan peranan strain ini masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Kesihatan Negara (NIH), Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan analisis terhadap lebih 120 jujukan genom penuh SARS-CoV-2 daripada sampel klinikal yang merangkumi gelombang pertama hingga ketiga kes COVID-19 di Malaysia.

Mengenai varian baharu dari United Kingdom dengan nama saintifiknya VUI 202012/01, Dr Noor Hisham berkata buat masa ini virus itu tidak dijumpai di Malaysia.

Bagaimanapun katanya IMR akan terus menjalankan penjujukan genom untuk memantau kehadiran varian itu serta varian lain dan KKM akan terus berwaspada dengan mengambil pelbagai langkah untuk mencegah penularan varian baharu ke Malaysia. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button