Berita UtamaIstimewa

Buktikan pada rakyat, jangan sia-siakan ‘peluang kedua’

Lipat gandakan usaha, pencapaian kementerian dan agensi kerajaan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 20 Muharram 1443H, Ahad – Anggota Jemaah Kabinet yang diberi ‘peluang kedua’ perlu membuktikan keupayaan mereka menguruskan kementerian masing-masing dengan lebih strategik dan berfokus.

Tindakan itu penting bagi mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan sekarang – jika tidak rakyat pasti muak dengan mainan politik yang tidak berkesudahan.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, walaupun usia kerajaan peralihan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini tidak lama, namun ia harus memberikan gambaran dan imej dinamik dalam kalangan rakyat.

“Sebab itu Perdana Menteri menyasarkan tempoh 100 hari sebagai indikator awal perubahan dan kemajuan setiap anggota Kabinet ini bagi membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan ini boleh berfungsi dengan cekap dan progresif.

“Pengekalan muka-muka lama ataupun pertukaran portfolio dalam kalangan anggota Kabinet ini juga memberi gambaran bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pertukaran portfolio dilihat dapat menguji kewibawaan anggota Kabinet untuk berfungsi dan berkhidmat dengan sebaiknya kepada rakyat dan negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Dalam pada itu, beliau berkata, rekod pencapaian dalam tempoh 100 hari pertama seperti yang diarahkan Perdana Menteri menggambarkan bahawa pencapaian awal sesebuah kementerian yang diterajui oleh anggota Kabinet itu nanti akan mengambil kira kewibawaan anggotanya untuk melaksanakan tugas dengan progresif.

Malahan ia sekali gus ‘membunuh’ persepsi negatif rakyat dan pembangkang mengenai pencapaian prestasi kerajaan yang tidak baik.

“Bagaimanapun indikator 100 hari itu tidak bermakna setiap anggota Kabinet akan memfokuskan pencapaian sepanjang 100 hari tetapi seharusnya dilipat gandakan usaha dan pencapaian kementerian dan agensi kerajaan.

“Ini bagi membentuk perhubungan yang sihat dalam kalangan mereka dengan rakyat serta mengukuhkan lagi kewibawaan kerajaan memerintah dalam tempoh 100 hari pertama nanti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button